Hasrat peminat MotoGP untuk menyaksikan Marc Marquez, Andrea Dovizioso, Maverick Vinales dan ramai lagi pelumba bertarung hebat di Litar Antarabangsa Losail, Qatar pada hujung minggu ini tidak kesampaian apabila pelumbaan kelas utama itu terpaksa dibatalkan susulan kebimbangan wabak COVID-19 yang kian menular pada ketika ini.

Menurut sumber Bernama, perkembangan terkini itu disahkan sendiri oleh pemegang hak eksklusif komersial dan televisyen MotoGP, Dorna Sports selepas mendapat persetujuan daripada Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

Keputusan itu terpaksa diambil kerana Itali yang merupakan antara negara yang memainkan peranan besar dalam kancah MotoGP, kini turut terpalit dengan wabak berbahaya itu. Diberitakan sudah 34 nyawa terkorban di Itali susulan COVID-19.

“Setakat hari ini, semua penumpang tiba di Doha dengan penerbangan terus dari Itali, atau berada di Itali dalam dua minggu lepas, akan dikenakan kuarantin sekurang-kurangnya 14 hari.

“Itali jelas memainkan peranan penting dalam kejohanan dan kelas MotoGP – sama ada di litar mahupun di luar litar, oleh itu keputusan telah diambil untuk membatalkan persaingan kelas utama,” ujar Dorna Sports mengulas mengenai perkara tersebut.

Hanya kelas MotoGP dibatalkan

Keputusan pembatalan itu bagaimanapun hanya melibatkan saingan MotoGP manakala dua lagi kelas iaitu Moto2 dan Moto3 tetap akan berlangsung pada 6 hingga 8 Mac ini bersama-sama dua perlumbaan Idemitsu Asia Talent Cup.

Hal ini kerana para pelumba kedua-dua kelas itu sudah berada di Qatar sejak minggu lalu berikutan sesi ujian masa rasmi yang dilalui oleh mereka selama tiga hari.

Ini bermakna para peminat tanah air masih boleh mengukir senyuman apabila bakal menyaksikan kelibat pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah dan Kasma Daniel Kasmayudin di pentas Moto2 manakala Khairul Idham Pawi pula bersama Petronas Sprinta Racing di kelas Moto3.

Kredit foto: Ultimate Motorcycling