Saban tahun, agensi penyelesaian sumber manusia terkemuka dunia iaitu Randstad akan menyenaraikan 10 majikan paling menarik menurut kajian mereka. Senarai 10 syarikat ini dipilih berdasarkan 75 syarikat terbesar yang menjalankan perniagaan mereka di Malaysia.

Kebiasaannya, Randstad akan menjalankan kajian mereka pada penghujung tahun atau pada awal tahun terhadap responden di syarikat yang memiliki 1,000 pekerja untuk mendapatkan keputusan ini. Kajian pada Januari 2021 ini dianggap penting kerana perubahan mendadak yang terpaksa diadaptasi oleh majikan dan pekerja bagi menyesuaikan perniagaan sewaktu menghadapi situasi tidak menentu seperti pandemik Covid-19.

Tahun 2020 menjadi satu lagi tahun paling mencabar kepada semua majikan di Malaysia di mana krisis ini menggariskan betapa pentingnya kejayaan mengukuhkan jenama majikan dan kemampuan organisasi muncul lebih kukuh daripada wabak ini.

Method kajian yang dijalankan oleh Randstad

Kredit gambar: https://fortune.com/company/randstad-holding/global500/

Beribu pejabat di Belanda, Randstad sebagai agensi pengendali sumber manusia mempunyai 4,861 cawangan di 39 buah negara. Maka dapatan Randstad disifatkan oleh pencari pekerjaan sebagai lebih dekat dengan nilai tempatan. Kajian mereka dibuat dengan menjalankan audit terhadap majikan melalui beberapa sumber maklumat iaitu panggilan telefon, e-mel dan juga mesyuarat bersama pekerja. Bagi menganalisa maklumat ini, seramai 2,523 responden akan ditemubual bagi mendapatkan pandangan mereka.

Penyelidikan Jenama Majikan 2021 Randstad mengkaji persepsi pencari kerja dan pekerja terhadap jenama majikan. Ia menawarkan pemahaman yang tepat mengenai faktor dan pendorong nilai pekerja.

Kajian ini sangat penting bagi mengimbangi kehendak majikan dan keperluan pekerja. Di samping itu juga, kajian ini menjadi kayu pengukur bagi majikan untuk mengimbangi antara perkembangan perniagaan dan juga kebajikan pekerja yang mampu menjadi pendorong untuk membawa syarikat pergi lebih jauh.

Selain itu juga, kajian Randstad dianggap sebagai lebih dekat dengan pekerja kerana dipilih oleh pekerja semata-mata dan tidak mendapat sebarang sokongan dana dari majikan. Di seluruh dunia, setiap tahun seramai 190,000 responden akan ditemubual oleh Randstad bagi mendapatkan pandangan mereka terhadap 6,493 syarikat.

10 majikan paling menarik di Malaysia bagi tahun 2021

Kredit gambar: http://www.everydayfoodilove.co/2018/10/the-mighty-bowl-menara-shell-brickfields.html

Pada tahun 2021, Shell Malaysia dinobat sebagai Majikan Paling Menarik di Malaysia oleh Randstad. Pencapaian Shell Malaysia dalam anugerah itu adalah kali ketiga selepas meraih pengiktirafan yang sama pada tahun 2016 dan tahun 2017.

Menurut kenyataan Randstad, pencapaian Shell Malaysia dikecapi hasil usahanya mengekalkan jenama majikan yang kukuh ketika menghadapi pandemik Covid-19. Selain Shell Malaysia, Nestlé Malaysia dan Intel Malaysia menjadi tiga majikan paling menarik tahun ini.

Berikut merupakan senarai 10 majikan paling menarik di Malaysia:

  1. Shell Malaysia
  2. Nestlé Malaysia
  3. Intel Malaysia
  4. Samsung
  5. Sime Darby Bhd
  6. General Electric
  7. HP Enterprise Services
  8. Sunway Bhd
  9. IBM
  10. Tenaga Nasional Bhd

Terdapat tiga buah syarikat tempatan di dalam senarai 10 teratas ini iaiu Sime Darby Berhad, Sunway Berhad dan juga Tenaga Nasional Berhad.

Pada tahun ini, PETRONAS dimasukkan ke Hall of Fame Randstad atas kejayaannya membawa pulang penghargaan majikan yang paling menarik tiga kali berturut-turut dari 2018 hingga 2020. Hall of Fame adalah penghargaan tertinggi dan paling berprestij yang diberikan dalam Anugerah Jenama Majikan Randstad yang dikhaskan hanya untuk majikan yang telah memenangi anugerah tiga kali dalam tempoh lima tahun.