Lebih satu juta pengikut media sosial. 681,000 pengikut di TikTok dan 555,000 pengikut di Instagram. Beliau hanya bermula dengan berkongsi video tips penggunaan Microsoft Excel dari bilik tidurnya.

Baru-baru ini, seorang jurulatih Microsoft Excel di TikTok menceritakan kisah permulaan kerjaya barunya. Sebelum ini, Kat Norton merupakan seorang perunding keselamatan bank di syarikat perunding antarabangsa Protiviti.

Kerjayanya itu membolehkan Kat sentiasa mengembara dan berjumpa dengan pelanggannya. Namun begitu, sama seperti orang lain, kerjaya beliau terhenti seketika akibat pandemik.

Maka, Kat Norton beralih kepada aktiviti yang beliau paling gemari iaitu mengajar tentang Microsoft Excel. Satu tahun kemudian, beliau bergelar jutawan hanya dengan mengajar tentang aplikasi tersebut.

Bermula dari rumah ibunya

Kredit gambar: Quartz

Pandemik memberi lebih masa untuk Kat Norton meneroka dirinya. Beliau merasakan bahawa mengajar tips Microsoft Excel merupakan satu cara yang baik untuk menonjolkan dirinya.

Dengan yakin, beliau turut meminta ibunya untuk bersiap sedia dari segi mental dan fizikal. “Saya akan menjadi kaya, terkenal dan berjaya”. Ibunya hanya tergelak mendengar celoteh Kat.

Maka, sekitar bulan Jun 2020, beliau membuka akaun TikTok dengan nama Miss Excel. 

Sebagai permulaan, beliau memuatnaik satu video sehari. Hanya memerlukan empat hari, video keempat Miss Excel mencecah tontonan sebanyak 100,000. Dan beliau tidak lagi menoleh ke belakang.

Membuka syarikat dari bilik tidur

Kredit gambar: Dr Ware

Mengajar Microsoft Excel secara sambilan bukanlah sesuatu yang baru untuk Kat Norton. Ketika bekerja di Protiviti lagi, beliau sudah memulakan kelas mengajar kemahiran menggunakan Microsoft Excel. Majikannya di Protiviti juga sangat menyokong minat ini. 

Apabila video keempat beliau menjadi viral, Kat tidak menunggu lama. Beliau terus bersedia dengan membuka sebuah syarikat Limited Liability Company (LLC). Bilik tidurnya semasa kecil dikosongkan, perabot dikeluarkan dan dimasukkan dengan skrin hijau.

Hanya pada hari keenam, Kat didekati oleh seorang CEO syarikat IT. CEO tersebut suka akan cara Kat mengajar dan mahu beliau mengajar G Suite pula, secara berbayar. 

Maka, Kat mula merekod video mengajar penggunaan G Suite dan menjual kembali kepada syarikat tersebut. Dalam masa yang sama, beliau masih mengekalkan keberadaannya di TikTok. Beliau percaya kepada kepentingan media sosial bagi membina kandungan. 

Tiga minggu kemudian, Kat memiliki 100,000 pengikut di TikTok. Videonya mencecah 3.6 juta tontonan. Maka, seperti janji beliau kepada ibunya, Kat kini menjadi terkenal dengan TikTok.

Jual kelas dengan pendapatan $100,000 sehari

@miss.excel

Get ready to impress the whole team with this one 🔥 #theassignment #selfimprovement #todayilearned #excel #learnhow

♬ The Assignment – Tay Money

Bekerja sendirian, Kat Norton tidak mempunyai banyak kos operasi yang perlu dibayar. Beliau menggunakan aplikasi WeVideo selepas menonton video penggunaannya selama 40 minit. Hanya menggunakan iPhone miliknya, Kat kini menjana pendapatan dari jualan kelas sebanyak $100,000 sehari.

Hanya beberapa bulan yang lalu, Kat mula menggunakan perkhidmatan agensi pengiklanan. Ini bagi mengembangkan media sosialnya ke platform lain seperti LinkedIn dan Facebook. 

Kelas pengajaran Microsoft Excel milik Kat kini dijual antara harga $297 hingga $997. Pada bulan Jun 2021, Kat Norton menerima anugerah MVP dari Microsoft. Beliau turut diundang untuk belajar bersama Microsoft bagi lebih memahami penggunanya.