Presiden Russia, Vladimir Putin, mengumumkan kerajaannya sudah mendaftarkan vaksin pertama di dunia untuk COVID-19, dengan memaklumkan anak perempuannya sendiri sudah menerima vaksin terbabit.

Katanya, pendaftaran oleh kerajaan itu menjadikan negaranya yang pertama di dunia mendaftarkan vaksin untuk COVID-19 selepas ujian klinikal diselesaikan dalam tempoh kurang dua bulan, dengan ujian fasa tiga akan dimulakan tidak lama lagi.

“Setahu saya, vaksin untuk rawatan jangkitan COVID-19 sudah didaftarkan pagi ini, sekali gus menjadikannya yang pertama di dunia.

“Walaupun saya tahu ia berkesan dan membentuk sistem imuniti yang stabil, saya ulang bahawa vaksin ini sudah melepasi semua pemeriksaan yang diperlukan,” katanya, seperti mana dilaporkan agensi berita RIA Novosti.

Putin juga mengesahkan bahawa anak perempuannya adalah antara sukarelawan yang menyertai ujian vaksin terbabit.

Sementara itu, ketua Dana Pelaburan Russia, Kirill Dmitriyev, yang membiayai projek vaksin itu, berkata ia diberi nama ‘Sputnik V’ sempena satelit negara itu.

“Ujian fasa tiga akan bermula esok dan pengeluaran besar-besaran dijangka dilakukan menjelang September ini.

“Vaksin dibangunkan Gamaleya (Institut Penyelidikan Saintifik Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya) ini sudah menerima tempahan lebih satu bilion dos dari 20 negara.

“Russia bersama rakan kongsi asing bersedia untuk menghasilkan 500 juta dos setahun di lima negara,” katanya.

Akhir Julai lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan terdapat 26 vaksin berpotensi pada peringkat penilaian termasuk satu yang didaftarkan di Russia, dibangunkan Institut Penyelidikan Saintifik Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya.

Pendaftaran vaksin berkenaan diperkatakan awal bulan ini, dengan Menteri Kesihatan Russia, Mikhail Murashko, memberitahu media awal bulan ini bahawa ujian klinikal vaksin itu sudah selesai.

“Ujian klinikal vaksin COVID-19 yang dibangunkan Gamaleya sudah selesai, dan kertas kerja berhubung pendaftaran vaksin sedang dilakukan,” katanya, menurut laporan agensi berita Tass. 

WHO mahu periksa data vaksin Russia

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengatakan bahawa sebarang cap kelulusan WHO pada calon vaksin COVID-19 memerlukan kajian data keselamatan yang ketat, selepas Russia semalam mengumumkan mereka sudah meluluskan vaksin COVID-19.

Presiden Vladimir Putin berkata, Russia menjadi negara pertama yang meluluskan vaksin bagi melawan jangkitan COVID-19.

Jurucakap agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Tarik Jasarevic, berkata pihaknya berhubungan rapat dengan pihak berkuasa kesihatan Russia dan perbincangan untuk pra-kelayakan vaksin WHO yang merangkumi tinjauan dan penilaian ketat terhadap semua data keselamatan dan keberkesanan diperlukan.

Jasarevic berkata, setiap negara mempunyai badan pengawal selia kebangsaan yang meluluskan penggunaan vaksin atau ubat-ubatan di wilayahnya.

“Tugasan WHO ialah melakukan proses pra-kelayakan vaksin dan ubat-ubatan dengan melakukan ujian klinikal, di mana ia diperlukan pengilang memandangkan itu menunjukkan ubat atau vaksin itu berkualiti dan diluluskan WHO.

“Kami didorong oleh kepantasan beberapa calon vaksin yang sedang diuji dan berharap beberapa vaksin ini terbukti selamat dan efisien.

“Namun mempercepat kemajuan tidak bererti tidak berkompromi terhadap keselamatan,” katanya.

Vaksin dikenali sebagai Sputnik V dihasilkan oleh institut penyelidikan Gamaleya yang bekerjasama dengan kementerian pertahanan negara.

Ketika ini sebanyak 168 calon vaksin sedang diusahakan di seluruh dunia dan dari jumlah itu, 28 vaksin sudah diuji pada manusia di mana enam daripadanya sudah mencapai ujian klinikal Fasa 3.

Namun, calon Gamaleya iaitu antara 28 calon vaksin dalam penilaian klinikal hanya disenaraikan di tahap satu sahaja.

Sementara itu, Ketua Dana Pelaburan Langsung Russia, Kirill Dmitriev, berkata Fasa 3 ujian akan bermula hari ini dan pengeluaran perindustrian dijangka mulai bulan September di mana 20 negara sudah memesan lebih dari satu bilion dos.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: