Seminggu selepas kejohanan tenis Terbuka Wimbledon (Wimbledon Open) dibatalkan kerana wabak pandemik COVID-19, penganjur mendapat pampasan sebanyak USD141 juta (RM612 juta) daripada sebuah syarikat insurans.
Semuanya gara-gara langkah penganjur kejohanan tenis tersebut yang mengambil insurans pandemik sejak 18 tahun lepas.
18 tahun lepas adalah tahun 2002; tahun sama wabak SARS melanda satu dunia.
Selain wabak pandemik, insurans itu turut melindungi Wimbledon Open daripada kerugian yang disebabkan oleh serangan pengganas dan juga kematian Ratu Elizabeth yang berpotensi menyebabkan pembatalan acara tahunan sukan tenis itu.
Sejak tahun 2002, Wimbledon Open telah konsisten membayar premium insurans tersebut sebanyak USD2 juta (RM8.7 juta) setahun.
Ternyata perancangan jangka masa panjang penganjur Wimbledon Open itu membuahkan hasil apabila hasil pampasan insurans pandemik tersebut mengurangkan kerugian mereka yang disebabkan oleh wabak COVID-19 .
Media melaporkan Wimbledon Open kerugian potensi pendapatan sejumlah £250 juta (RM1.35 bilion) susulan pembatalan acara tersebut pada tahun ini.
Tetapi setidak-tidaknya pihak penganjur dapat membayar kos-kos pengacaraan dan gaji staf mereka seperti biasa dengan menggunakan duit pampasan insurans pandemik tersebut.
Meskpun jumlah pampasannya (RM621 juta) hanya merangkumi 46% potensi pendapatan kejohanan tersebut, setidak-tidaknya ia membuktikan pelaburan penganjur tidak sia-sia.
Jika dikira selepas 18 tahun membayar premium sebanyak RM8.7 juta setahun, Wimbledon Open telah membayar syarikat insurans mereka sebanyak RM157 juta. Duit pampasan yang mereka perolehi adalah hampir 4 kali ganda daripada jumlah premium yang dibayar.
Ketua Eksekutif Wimbledon Open, Richard Lewis berkata:
“Kami bernasib baik kerana ada insurans. Ia sangat membantu. Sayrikat insurans, brokers dan semua yang terlibat telah bekerja dengan baik setakat ini. Tapi banyak kerja lain yang perlu dilakukan.”
Selain Wimbledon Open, sebuah lagi kejohanan yang mengambil insurans sama adalah kejohanan golf British Open (Terbuka British).
Difahamkan penganjur British Open mengambil keputusan untuk terus membatalkan kejohanan tersebut, bukan setakat menangguhkannya, untuk membolehkan mereka menerima pampasan insurans.