Seorang Datuk Bandar di Itali menggunakan dron untuk memaki dan mencarut kepada penduduk bandarnya yang tidak mematuhi arahan penjarakan sosial (social distancing).

Jika dron digunakan di China dan Malaysia untuk melakukan kerja nyahkuman dan di Britain untuk merakam video orang yang melanggar kuarantin, Itali pula ada idea lain.

Datuk Bandar Messina, Cateno de Luca menggunakan pembesar suara yang diikat di atas dron untuk mencarut kepada penduduk bandarnya yang degil.

Dalam video tersebut, de Luca menjerit, “Va fanculo! Andare a casa!” kepada dua orang lelaki yang berlari ketakutan selepas mendengar makiannya dari dron tersebut.

Situasi penularan wabak COVID-19 di Eropah ketika ini tidak menunjukkan sebarang tanda reda. Jika penularan wabak penyakit ini sudah mula perlahan di China, perkara sebaliknya sedang berlaku di Eropah.

Itali merupakan negara yang paling terjejas teruk dengan wabak COVID-19 beberapa minggu lepas sebelum Amerika Syarikat mengatasi jumlah kematian mereka.

Ketika artikel ini ditulis, Itali sudah mencatat lebih 140,000 kes positif COVID-19 dan lebih 18,000 kes tersebut berakhir dengan kematian. Seluruh Itali sedang berada di bawah perintah berkurung ketika ini. Tiada orang dibenarkan keluar masuk Itali.

Situasi wabak COVID-19 menjadi teruk di Itali sehinggakan rakyat terdesak mula merusuh dan melakukan jenayah untuk mendapatkan makanan.

Media baru-baru ini melaporkan insiden beberapa rakyat Itali mendesak pemilik kedai untuk memberi makanan secara percuma.

Di Sicily, sebuah video merakamkan protes orang ramai terhadap kelambatan kerajaan menghulurkan bantuan.

Satu lagi video di Bari menunjukkan insiden beberapa individu bertumbuk sesama sendiri kerana berebut duit €50 (RM236).

Seramai 3.3 juta rakyat Itali terkesan dengan penutupan aktiviti ekonomi yang disebabkan oleh penularan wabak COVID-19.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai situasi wabak COVID-19 di Itali: