Fenomena semakin ramai rakyat Malaysia yang berkahwin merancang kehamilan membuatkan kerajaan risau negara akan bertukar status menjadi negara tua menjelang 2030.

Malaysia akan mencapai status negara tua pada 2030 apabila penduduk berusia 60 tahun ke atas mencapai 15 peratus daripada jumlah penduduk.

Berdasarkan data pada 2017, bilangan penduduk berusia 60 tahun ke atas ialah 6.3 peratus daripada jumlah rakyat yang ketika ini berjumlah 33 juta.

Jika dibiarkan berterusan, Malaysia juga dijangka akan mengalami penguncupan jumlah populasi penduduk buat kali pertama pada tahun 2072. Perkara ini merisaukan kerana ia akan memberi kesan langsung kepada ekonomi negara kerana kekurangan tenaga pekerja muda.

Kerisauan ini disuarakan oleh Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abdul Shukur Abdullah.

Menurutnya, faktor kewangan menjadi halangan utama kepada pasangan untuk memiliki saiz keluarga yang diinginkan.

Beliau berkata walaupun secara purata para ibu bapa di negara ini menginginkan empat anak, namun hakikatnya kebanyakan mereka terpaksa merancang kehamilan kepada antara dua dan tiga orang sahaja kerana kos untuk seorang anak yang tinggi.

“Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5) mendapati sebanyak 65 peratus daripada penduduk berkahwin menyatakan bahawa mereka ingin mempunyai lebih ramai anak sekiranya isu kewangan bukan suatu halangan,” katanya kepada Bernama.

Jelasnya, antara kos-kos yang yang dilihat membebankan ibu bapa adalah pembelian peralatan dan makanan bayi yang mahal seperti susu dan lampin pakai buang serta upah pengasuh serta yuran taska yang tinggi.

Faktor lain yang menghalang keluarga di negara ini daripada mencapai saiz keluarga yang mereka inginkan adalah perkahwinan lewat, kesukaran mencari pasangan hidup dan masalah kesuburan, katanya.

Oleh itu, katanya insentif dalam bentuk bantuan kewangan bagi menggalakkan kelahiran perlu diperkenalkan kerajaan dalam menangani isu itu.

“Kita memberi cadangan kepada kerajaan agar insentif tambahan diberikan kepada ibu bapa seperti kemudahan taska, bonus untuk setiap kelahiran bayi serta membantu menampung kos harga susu yang secara langsung akan membantu ibu bapa mengurangkan kos sara hidup keluarga mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Shukur berkata jika dibandingkan dengan kadar kesuburan dengan negara-negara ASEAN yang lain, kadar kesuburan negara pada ketika ini berada pada tangga ketiga terendah iaitu 1.9 orang anak bagi setiap wanita berumur antara 15 hingga 49 tahun pada 2016 selepas Singapura (1.2) dan Thailand (1.5).

“Kajian pada 2018 juga mendapati kadar kesuburan negara juga menurun dengan cepat iaitu kepada 1.8 orang, situasi ini akan menpercepatkan proses penuaan negara dan berkemungkinan negara akan mencapai status negara tua sebelum 2030,” katanya.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: