Jurutera merupakan sebuah profesyen yang dihormati di Malaysia, tetapi kadar gajinya tidak menggambarkan keadaan sebenar. Difahamkan kadar gaji jurutera tempatan di Malaysia tidak berubah sejak 20 tahun lalu.

Pada tahun lepas, Berita Harian melaporkan gaji jurutera Malaysia yang baru keluar universiti kurang RM2,500 sebulan, tak selumayan yang disangka masyarakat. Mereka hanya akan menerima kenaikan gaji hanya selepas bekerja lebih 4-5 tahun.

Kadar gaji itu pula hanya ditawarkan di bandar besar seperti di Lembah Klang, di mana permintaan pasaran adalah tinggi. Kadar gaji jurutera Malaysia di kawasan bukan bandar besar pula adalah lebih rendah, dipercayai antara RM1,800-2,300.

Mereka yang ditawarkan jawatan pembantu jurutera pula hanya akan menerima gaji sekitar RM1,800 meskipun mempunyai kelayakan setaraf dengan jurutera.

Bagi sektor awam, gaji jurutera Gred J41 adalah RM2,529 untuk jurutera awam dan RM2,360 bagi jurutera mekanikal dan jurutera elektrik.

Bagaimanapun, kadar gaji permulaan itu boleh mencecah maksimum RM9,000 dengan kadar kenaikan gaji tahunan sebanyak RM225.

Punca

1. Industri tak anggap kemahiran jurutera bernilai

Embed from Getty Images

Menurut ahli Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), Megat Johari Megat Mohd Noor, setiap tahun universiti tempatan menghasilkan kira-kira 10,000 graduan kejuruteraan dan bilangannya meningkat saban tahun.

Bagaimanapun katanya, industri di Malaysia tidak melihat kemahiran sebagai satu nilai yang berharga untuk dibayar, menjadi punca bidang kejuruteraan negara masih tidak meningkat ke tahap yang sepatutnya.

“Industri merasakan graduan kejuruteraan tidak bersedia untuk membuat kerja, tetapi tidak mahu melabur untuk memberi latihan dan pengalaman yang betul.

“Keadaan ini menyebabkan taraf gaji jurutera negara hari ini dalam keadaan tertekan kerana industri tidak berusaha untuk meningkatkan tahap kemahiran jurutera,” katanya.

2. Lebih percaya kualiti jurutera luar negara berbanding tempatan

Embed from Getty Images

Lebih 90 peratus syarikat yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan di negara ini tidak mempercayai kemampuan bakat tempatan, sekali gus menyebabkan ramai jurutera dan graduan kejuruteraan tidak menerima pengiktirafan dan gaji setaraf.

Situasi itu menyebabkan pembangunan kejuruteraan negara berada dalam tekanan kerana industri ketika ini lebih menggemari kepakaran dan teknologi luar, khususnya dari negara jiran, berbanding tenaga tempatan.

“Industri tidak melihat kepada kemahiran dan mereka lebih berminat mendapatkan tenaga luar seperti dari negara jiran yang akan menerima apa saja tawaran,” kata Megat Johari lagi.

3. Industri tiada desakan melabur dalam bidang R&D

Embed from Getty Images

Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) turut mendapati lebih 5,000 syarikat kejuruteraan ketika ini tidak mahu terbabit dalam program pembangunan jurutera, termasuk bidang kajian & penyelidikan (R&D).

Akibatnya, sektor perindustrian negara tidak membangun pada tahap yang sepatutnya, meskipun pelbagai usaha sudah dilakukan kerajaan untuk mencapai tahap negara maju.

Syarikat kejuruteraan di Malaysia ketika ini tidak berminat untuk melabur dalam meningkatkan kemahiran bakat kejuruteraan tempatan, sebaliknya hanya menggunakan penyelidikan serta kepakaran sedia ada atau dari luar negara.

“Kira-kira 6,000 syarikat kejuruteraan ada di negara ini, tetapi hanya 600 sahaja yang melaksanakan kerja penyelidikan.

“Ribuan syarikat lain pula melakukan pelbagai jenis projek, tetapi mereka tidak mahu melabur dalam meningkatkan taraf bakat tempatan.

“Situasi ini memberi kesan kepada negara dan boleh dikatakan implikasi itu sudah mula dirasai, kerana industri hari ini dilihat lebih memberi peluang kepada kepakaran dari luar seperti Singapura.

“Mereka mewujudkan kilang di sini, tetapi bila mahu menggunakan kejuruteraan dan teknologi baharu, mereka ke negara jiran itu,” jelas Megat Johari.

Senarai gaji jurutera mengikut bidang dan jangka masa pengalaman di Malaysia

Graduan baharu (pengalaman 0-3 tahun)

Jurutera kimia: RM1,700 – RM2,600
Jurutera elektrik dan elektronik: RM2,500 – RM3,500
Jurutera mekanikal: RM1,900 – RM2,900
Jurutera awam: RM1,900 – RM3,300
Jurutera data/IT: RM2,000 – RM3,200
Jurutera minyak dan gas: RM2,300 – RM3,300
Jurutera produk: RM2,300 – RM3,100

Jurutera senior (pengalaman 4-7 tahun)

Jurutera kimia: RM4,100 – RM6,200
Jurutera elektrik dan elektronik: RM4,100 – RM6,100
Jurutera mekanikal: RM3,400 – RM5,200
Jurutera awam: RM3,600 – RM5,600
Jurutera data/IT: RM4,200 – RM6,200
Jurutera minyak dan gas: RM3,900 – RM5,400
Jurutera produk: RM3,200 – RM5,000

Pengurus (pengalaman 6-12 tahun)

Jurutera kimia: RM7,500 – RM9,700
Jurutera elektrik dan elektronik: RM7,000 – RM10,000
Jurutera mekanikal: RM6,000 – RM7,900
Jurutera awam: RM6,500 – RM10,000
Jurutera data/IT: RM7,000 – RM11,000
Jurutera minyak dan gas: RM8,500 – RM13,000
Jurutera produk: RM6,500 – RM9,800

Pengurus senior (pengalaman lebih 13 tahun)

Jurutera kimia: RM11,00 – RM20,000
Jurutera elektrik dan elektronik: RM10,100 – RM14,400
Jurutera mekanikal: RM8,000 – RM12,000
Jurutera awam: RM10,900 – RM17,300
Jurutera data/IT: RM13,200 – RM23,000
Jurutera minyak dan gas: RM12,500 – RM30,000

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan: