Tujuan asal sekolah antarabangsa diwujudkan adalah untuk memenuhi keperluan pendidikan anak warga asing, ekspatriat dan diplomat luar yang bertugas di Malaysia.

Tetapi saban tahun jumlah pelajar tempatan, khususnya dari keluarga M40 dan T20, yang masuk sekolah antarabangsa berbanding sekolah pendidikan kebangsaan meningkat setiap tahun.

Menurut laporan Berita Harian, sebanyak 44,575 pelajar daripada keseluruhan 69,795 pelajar sekolah antarabangsa di Malaysia pada tahun 2019 merupakan pelajar tempatan. Ini bermakna kira-kira 64% pelajar sekolah antarabangsa merupakan rakyat Malaysia.

Jumlah pelajar tempatan di sekolah antarabangsa juga meningkat secara berterusan setiap tahun. Dalam masa kurang 10 tahun sejak 2010, jumlah pelajar tempatan di sekolah antarabangsa meningkat 450%!

Perkembangan ini menimbulkan persoalan sama ada kita akan menyaksikan lebih ramai pelajar tempatan, khususnya daripada keluarga M40 dan T20, ‘terpisah’ daripada kurikulum pendidikan kebangsaan.

Walaupun secara dasarnya ibu bapa bebas memilih sekolah mana yang mereka mahu hantar untuk anak mereka belajar, trend ini sebenarnya mewakili pertambahan ramai rakyat Malaysia tidak percaya dengan kualiti pendidikan sekolah kebangsaan.

Yuran mahal bukan penghalang

Meskipun yuran pengajian di sekolah antarabangsa boleh mencecah sehingga RM50,000 setahun, ia masih tidak menghalang lebih ramai pelajar tempatan daripada masuk mendaftar.

Fenomena ini menimbulkan persoalan – apa faktor-faktor yang menyumbang kepada pertambahan jumlah pelajar tempatan di sekolah antarabangsa? Berikut merupakan enam sebabnya:

1. Dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia hab pendidikan utama ASEAN

Kementerian Pendidikan memaklumkan penubuhan sekolah antarabangsa antara faktor utama untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia. Ini sekali gus menjadikan negara sebagai hab pendidikan utama di rantau ini.

“Dengan pertumbuhan sekolah antarabangsa di negara kita, terutama jenama kukuh yang memilih Malaysia sebagai kampus utama pada peringkat ASEAN dan Asia, ia turut mempromosikan negara kita sebagai destinasi pilihan untuk pendidikan,” menurut kenyataan kementerian.

2. Pemansuhan kuota 40% pelajar tempatan

Sebelum tahun 2012, kerajaan menetapkan kuota maksima pelajar tempatan di sesebuah sekolah antarabangsa hanyalah 40%. Apabila kuota ini cukup, ibu bapa tempatan tidak lagi boleh menghantar anak mereka belajar di sekolah antarabangsa – walau sekaya mana pun mereka.

Tetapi apabila kuota ini dibubarkan pada tahun 2012, jumlah kenaikan pelajar tempatan di sekolah antarabangsa meningkat 57% berbanding 23% pada tahun sebelumnya.

3. Fleksibiliti kurikulum

Mengikut peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan, sekolah antarabangsa boleh memilih menggunakan kurikulum pendidikan British, Amerika Syarikat, Australia, Kanada atau International Baccalaureatte.

Namun mereka diwajibkan mengajar subjek Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Islam/Moral kepada semua pelajar tempatan.

4. Persediaan sebelum belajar di luar negara

Bekas Pengarah Unit Pendidikan Swasta Kementerian Pendidikan, Ahmad Sabirin berkata antara salah satu sebab popular mengapa semakin ramai ibu bapa tempatan menghantar anak mereka belajar di sekolah antarabangsa adalah untuk mempersiapkan anak mereka untuk belajar di luar negara di universiti nanti.

“Ibu bapa melihat persekitaran sekolah antarabangsa yang lebih majmuk dengan masyarakat antarabangsa sebagai pendedahan awal buat anak mereka sebelum belajar di luar negara nanti.”

5. Kualiti pendidikan yang tinggi

Satu lagi faktor utama yang membuatkan ibu bapa menghantar anak mereka belajar di sekolah antarabangsa juga adalah kualiti pendidikan yang tinggi.

Ibu bapa mahukan anak mereka belajar di persekitaran kelas yang kondusif, kemudahan sukan canggih, bilangan nisbah murid-guru yang kecil dan kurikulum yang tidak terlalu berteraskan kepada peperiksaan.

Dekan Sekolah Pendidikan dan Sains Kognitif Asia e- University (AeU), Prof Dr John Arul Phillips memberi contoh: “Bayangkan kesan kepada pelajar yang berada dalam kelas lemah selama 11 tahun. Sedangkan kita tak tahu dia mungkin pandai di bahagian lain.”

6. Pertambahan bilangan keluarga M40

Kemakmuran ekonomi negara juga ada kaitannya dengan fenomena ini. Apabila ekonomi negara semakin makmur, semakin ramai keluarga masuk ke kelas M40 atasan (upper middle class).

Ditambah pula dengan bilangan anak yang semakin mengecil dalam kalangan golongan M40, ini memberikan ruang kepada anak mereka untuk menikmati kualiti pendidikan di sekolah antarabangsa.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: