Jika anda sedang berkira-kira untuk menyisihkan PlayStation 4 (PS4) sebagai persiapan menanti PS5, anda boleh membatalkan niat tersebut kerana Sony tetap akan mengeluarkan game baru di PS4.

Nasihat ini diberi oleh Timbalan Presiden Rekaan UX PlayStation, Matt MacLaurin di akaun LinkedIn milik beliau.

Menurutnya, PS4 masih akan ‘mempunyai jangka hayat yang panjang’ dan ‘peminat tak perlu terburu-buru membeli PS5’.

Pengesahan ini diberi MacLaurin ketika ditanya mengenai perincian generasi PlayStation terbaharu, PS5, di LinkedIn.

PS4 masih banyak game baru

Ketika ini ramai peminat PlayStation sedang menunggu lebih banyak maklumat terperinci keluar dari pihak Sony selepas memperkenalkannya buat kali pertama pada minggu lepas.

Ramai juga peminat yang menasihatkan orang yang baru nak beli PS4 supaya menunggu sehingga PS5 keluar.

Tetapi menurut MacLaurin, jika anda masih menikmati game di PS4, anda tak perlu segera menukarnya dengan membeli PS5. “PS4 akan hidup lama lagi,” katanya.

Seorang peminat memuji langkah Sony itu. “Tahniah,” tulisnya. “PlayStation adalah produk yang hebat. Saya sedang gunakan PS4 Slim sekarang. Sebelum ini saya agak risau saya kena beli PS5 secepat mungkin.”

“Tak perlu terburu-buru (beli PS5),” jawab MacLaurin. “Kami masih lagi akan beri tumpuan kepada PS4.”

Berita ini pastinya akan memberi kelegaan kepada pemilik PS4, sama ada yang lama mahupun baru. Sony sebelum ini mengesahkan akan ada beberapa game baru yang akan dikeluarkan di PS4 sebelum PS5 dilancarkan di pasaran.

Antara game baru di PS4 adalah The Last of Us II dan Ghost of Tsushima. Walaupun lambat-laun semua game PS4 akan berhijrah ke PS5, Sony memberi jaminan semua game baru ini lebih elok dimainkan di PS4 terlebih dahulu, berbanding menunggu keluaran terbaru di PS5.

Maklumat terbaru PS5

Selain berita itu, MacLaurin juga mengesahkan maklumat baru mengenai PS5.

“Antara muka pengguna (UI) PS5 akan berbeza 100% daripada PS4,” dedahnya. Beliau turut menjelaskan mengapa saiz konsol PS5 jauh lebih besar daripada PS4.

“Saya kagum dengan rekaan yang kami tampilkan untuk PS5. Tapi pada masa sekarang, banyak orang lebih pentingkan kemudahalihan (portability). Persembahan PS4 dah cukup hebat. Kenapa buat PS5 jadi lagi besar?” soal seorang peminat.

MacLaurin menjawab:

“Arus udara panas. PS5 bagaikan gabungan super-komputer yang kecil. Proses 7nm di PS5 memberi kuasa yang sangat kuat yang memerlukan lebih banyak arus udara panas untuk dialirkan keluar.”

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: