Jurulatih kepada Khabib Nurmagomedov, Javier Mendez, menganggap Tony Ferguson vs Khabib Nurmagomedov akan menjadi pertarungan sebenar yang sengit.

Mendez juga melabel bahawa pertarungan ini sangat besar dan beprestij kerana mempertemukan dua petarung UFC yang berada di dalam prestasi terbaik dalam karier mereka.

Mereka berdua dijadualkan bertarung pada UFC 249 pada 18 April akan datang di Barclays Center, New York.

Mendez menganggap Ferguson sebagai salah seorang petarung UFC terbaik di lapangan UFC pada ketika ini. Namun beliau menegaskan ramai pihak agak memandang rendah kemampuan Ferguson.

Petarung yang popular dengan jolokan El Cucuy itu sudah meraih 12 kemenangan berturut-turut – sejak kali terakhir dikalahkan Michael Johnson pada 5 Mei 2012.

Mendez menegaskan bahawa Khabib Nurmagomedov sedar akan kehebatan lawannya kali ini, walaupun petarung dari Rusia itu menang kesemua 28 pertarungannya setakat ini.

Mendez berkata: “Ferguson mampy mengalahkan Khabib, dan Khabib juga mampu mengalahkan Ferguson.”

“Tugas saya adalah untuk memastikan Khabib menang, jadi saya harus sentiasa berada di pihak Khabib dan bukan Ferguson.”

Ini merupakan pertarungan ketiga oleh Khabib Nurmagomedov untuk aksi mempertahankan bengkung kejuaraan UFC.

Sebelumnya, Khabib berjaya mempertahankan gelaran beliau selepas menewaskan Conor McGregor dan Dustin Poirier.

Mendez juga mengingatkan Khabib Nurmagomedov bahawa lawan beliau kali ini sangat bagus di ‘ground’. Ini yang akan menjadikan pertarungan di antara mereka berdua akan menjadi sengit.

Segala strategi perlu diatur teliti untuk menewaskan lawan seperti Tony Ferguson.