Jika anda penat memerah otak nak beli hadiah apa paling sempurna untuk birthday suami, adik-beradik atau kawan lelaki pada tahun ini, anda boleh relaks kerana jawapan hanya ada satu: Sony PlayStation 5 atau PS5.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, awal pagi tadi Sony mengadakan acara pertunjukan rasmi PS5. Dalam acara tersebut yang berlangsung jam 4 pagi waktu Malaysia hari ini, Sony menunjukkan rupa permainan yang dimainkan di PS5.

Ini petunjuk yang baik memandangkan PS5 dijangka akan mula dijual secara pra-tempah pada Julai 2020 dan didapati di kedai fizikal bermula Disember 2020 nanti.

Selepas sejam menunjukkan apa yang penggemar PlayStation boleh jangka dalam PS5, Sony kemudiannya mendedahkan rupa bentuk konsol pula. Demi Tuhan, ia pemandangan indah bagi setiap lelaki yang membesar sejak kemunculan PS1.

https://twitter.com/smoyyy20/status/1271188490861064195

Rata-rata netizen memuji rekaan bentuk PS5 yang nampak futuristik dan moden. Lagi-lagi bila dibandingkan dengan pesaingnya, Xbox Series X yang nampak seperti router.

Sony setakat ini masih belum mendedahkan pilihan warna lain untuk PS5. Tetapi campuran warna hitam dan putih yang ditunjukkan mereka awal pagi tadi sudah membuatkan hati mana-mana lelaki tertawan.

Satu isu yang mungkin timbul daripada reka bentuk PS5 ini adalah ia mungkin sukar untuk dibaringkan secara melintang. Ini bermakna berbeza dengan generasi PlayStation sebelum ini, besar kemungkinan PS5 perlu diletakkan secara menegak sahaja.

Bahagian belakang PS5 pula mempunyai corong penyejukan berwarna hitam.

Terdapat dua versi konsol PS5 yang diperkenalkan oleh Sony pada kali ini. Pertama, adalah versi standard yang mempunyai slot cakera fizikal (tengah dalam gambar bawah). Kedua, adalah versi digital tanpa slot cakera fizikal (paling kiri dalam gambar bawah).

Seperti Xbox versi digital, PS5 versi digital juga difahamkan berharga murah sedikit berbanding versi standard dan lebih nipis bentuknya.

Sebelum ini Sony mengumumkan spesifikasi PS5 adalah seperti berikut:

  • custom eight-core AMD Zen 2 CPU
  • custom AMD RDNA 2-based GPU
  • 16GB GDDR6 RAM
  • 825GB storan SSD dengan kepantasan pemprosesan data selaju 5.5GB/s
  • DualSense controller yang dilengkapi haptic feedback, adaptive triggers, mikrofon dan port USB-C

Selain itu ia juga akan dilengkapi dengan aksesori kamera HD dan headphone Pulse 3D yang menampilkan ciri 3D audio yang Sony canang-canangkan.

Butiran lain seperti harga masih belum diketahui dan akan diberitahu oleh Sony dalam masa terdekat. Tetapi sudah ada khabar angin mengatakan harga PS5 adalah sekitar RM2,010 hingga RM2,138.

Sony PS5 ini taklah mahal sangat untuk dijadikan hadiah, kan?

Baca juga artikel lain yang berkaitan: