Syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat, Apple semalam mengumumkan bahawa mereka akan melaburkan RM1.7 trilion (USD$430 bilion) dalam lima tahun akan datang. Pelaburan tersebut tidak hanya tertumpu di Silicon Valley sahaja, malah ia akan membantu kesemua 50 negeri di Amerika. Sebanyak 20,000 peluang pekerjaan juga bakal tercipta dalam jangka masa tersebut.

Cadangan pelaburan ini bukan bermula secara tiba-tiba. Sejak tahun 2018 lagi, Apple mempunyai rancangan untuk melaburkan sebanyak USD$350 bilion bagi merancakkan ekonomi dan membantu mempercepatkan perkembangan teknologi di sana. Peningkatan sebanyak 20 peratus ini termasuk bagi menyediakan sebuah kampus kejuruteraan serba baharu di North Carolina dengan nilai RM4 bilion.

Kampus kejuruteraan ini akan dibangunkan di kawasan Research Triangle yang menempatkan universiti terkemuka di North Carolina iaitu North Carolina State University, Duke University dan University of North Carolina. Dengan pembinaan kampus ini, Apple dijangka dapat membuka 3,000 peluang pekerjaan baharu, terutamanya berkaitan kecerdasan buatan dan teknologi 5G.

Pelaburan juga akan memfokuskan masyarakat setempat dengan RM400 juta akan dilaburkan untuk kegunaan sekolah di sekitar kampus dan juga bagi pembangunan masyarakat setempat. Sebanyak RM450 juta pula akan dilaburkan bagi meningkatkan infrastruktur di kawasan tersebut. Fokus utama Apple selepas ini adalah meningkatkan inovasi serta menghasilkan produk yang lebih inovatif.

Sumber: