Bill Gates menaja kos pembinaan dan operasi tujuh kilang vaksin yang menghasilkan tujuh calon vaksin COVID-19 dalam usahanya untuk membantu dunia menamatkan wabak pandemik itu.

Bercakap kepada pengacara Trevor Noah dalam rancangan The Daily Show, Bill Gates berkata sumbangan tersebut akan dilakukan oleh yayasan kebajikannya, Bill and Melinda Gates Foundation.

“Daripada tujuh calon vaksin tersebut, saya mungkin hanya akan pilih satu atau dua vaksin yang terbaik.”

Walaupun langkah itu bermakna Gates akan membazirkan berbilion US Dollar ‘memayung’ kos pembinaan dan operasi lima atau enam kilang penghasilan vaksin COVID-19 lain, beliau berkata ia pelaburan yang berbaloi.

“Dalam situasi di mana ekonomi dunia boleh kerugian bertrilion-trilion US Dollar, saya rasa ‘pembaziran’ berbilion-bilion US Dollar ini berbaloi.

“Saya buat tujuh kilang sekaligus supaya kita tak bazir masa tunggu satu demi satu vaksin kilang mana yang menjadi. Elok saya buat tujuh kilang sekaligus.

“Disebabkan yayasan kami mempunyai kepakaran dalam penyakit berjangkit, duit kami boleh mempercepatkan usaha manusia untuk mencari vaksin. Kami dah banyak kaji tentang epidemik, kami dah laburkan banyak duit untuk bersedia seperti penghasilan vaksin ini.

Orang kedua paling kaya di dunia itu berkata penghasilan vaksin yang menjadi secepat mungkin amat penting untuk memerangi wabak penyakit.

“Ia akan mengambil masa 18 bulan. Setiap bulan yang berlalu adalah penting.”

Gates dan isterinya sebelum ini sudah menderma USD100 juta kepada kerajaan Washington DC untuk membiayai pembelian dan penghantaran kit ujian COVID-19 kepada semua penduduk negeri tersebut.

Hujung Mac lepas, Mark Zuckerberg dan isterinya, Dr. Priscilla Chan mengumumkan kerjasama badan kebajikan mereka, Chan-Zuckerberg Initiative, dengan Bill and Melinda Gates Foundation untuk mengumpul USD25 juta (RM108 juta) bagi kajian rawatan penyakit COVID-19.

Bercakap kepada CBS, Chan berkata kerjasama ini dibuat dengan badan kebajikan milik Bill Gates dan isterinya untuk ‘mempercepatkan usaha menentang coronavirus’.

Selain itu mereka juga mahu ‘memberi dana kepada kumpulan yang sedang mengkaji ubat yang mempunyai potensi kesan kepada coronavirus’.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai vaksin COVID-19: