Selepas desus desas sejak Februari lalu, Perseroan Terbatas Aplikasi Karya Anak Bangsa yang lebih dikenali sebagai Gojek dan PT Tokopedia (Tokopedia) akhirnya mengumumkan penggabungan mereka. Kini dikenali dengan nama Kumpulan GoTo, penggabungan antara dua gergasi teknologi ini bakal melahirkan sebuah syarikat yang menyumbang 2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia.

Bersatu untuk Kamu, Gotong Royong Mendorong Kemajuan dan Inovasi Kolaborasi Anak Bangsa menjadi tema kepada penggabungan ini. Gojek lahir pada tahun 2010 sebagai pusat panggilan kepada dua puluh orang ojek, iaitu penunggang teksi motor. Tokopedia pula ditubuhkan pada tahun 2009 dengan cita-cita untuk mendemokrasikan perniagaan di Indonesia secara dalam talian. Menurut Singapore Business Times, selepas penggabungan ini Kumpulan GoTo kini dianggarkan bernilai antara RM144.4 bilion hingga RM165 bilion.

Kumpulan GoTo akan dikendalikan oleh keempat-empat tulang belakang Gojek dan Tokopdia. Andre Soelistyo akan menjadi CEO Kumpulan GoTo dan juga GoTo Financial, Patrick Cao akan menjadi Presiden Kumpulan GoTo, manakala pengasas Gojek dan Tokopedia, Kevin Aluwi dan William Tanuwijaya akan mengekalkan kedudukan mereka sebagai CEO bagi kedua-dua syarikat ini. Dilaporkan juga, operasi syarikat tidak akan berubah dan akan terus berjalan seperti biasa selepas penggabungan ini.

GoTo kini mempunyai 100 juta pengguna aktif sebulan, iaitu meliputi hampir 36.9 peratus daripada penduduk Indonesia.

https://youtu.be/5VvTmEO79bQ