Pada Ahad lepas, kerajaan Britain dibawah pimpinan Perdana Menteri Boris Johnson telah mengumumkan strategi pemulihan ekonomi UK susulan kemerosotan akibat penularan COVID-19 di sana.

Walaupun kerajaan memberi kelonggaran perintah berkurung, rakyat UK dinasihatkan agar sentiasa memakai topeng muka apabila keluar di tempat awam.

Namun menurut Ahmad Syabil Hud Adzman Shah, ahli Malaysian Society Imperial College London, penutup mulut dan hidung itu perlulah dihasilkan sendiri mengikut inisiatif masing-masing berikutan masalah bekalan topeng muka yang terhad di negara tersebut.

“Salah satu langkah yang diorang laksanakan ialah rakyat di sini perlu membuat pelindung muka sendiri, iaitu penutup muka dan bukan hanya topeng penutup hidung dan mulut.”

“Disebabkan itu, jika dilihat kebanyak media sosial di UK sering memaparkan video mengenai cara-cara membuat penutup muka, ada yang menggunakan kain, tuala dan cara-cara menjahit topeng,” katanya memetik laporan Astro Awani.

Ahmad Syabil turut berkata suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini tidak meriah seperti tahun-tahun sebelumnya kerana mereka masih lagi tidak dibenarkan untuk berkumpul beramai-ramai dalam satu-satu masa.

“Nasihat kerajaan ialah jangan berkumpul untuk berjumpa dengan kawan-kawan. Jika ingin berjumpa dengan sesiapa, hanya dibenarkan untuk berada di luar rumah sahaja.

“Jadi rancangan saya ialah untuk sambutan Aidilfitri tahun ini, saya dan rakan serumah saya hanya akan berkumpul menerusi panggilan video untuk menghubungi ibu-bapa, saudara-mara dan rakan rakan yang berada di Malaysia,” jelas Syabil.

Baca juga artikel lain yang mungkin menarik bagi anda:

Sumber: