Bila nak beli kereta baru, antara faktor yang orang pertimbangkan adalah dia punya Resale Value, RV (nilai jualan semula). Of course lah, faktor lain seperti ruang, warna, jenama, populariti dan harga memainkan peranan penting sebelum kita beli kereta baru.

Tetapi harga kereta di Malaysia mahal. Silap pilih kereta, kita stuck kena pakai kereta sama sampai tua. Bila nak jual atau trade-in lepas 5 tahun, kita pula kena top-up duit sendiri sebab baki loan kereta lagi banyak dari resale value dia.

Apa itu resale value?

Resale value adalah nilai jualan semula kereta selepas satu tempoh tertentu. Seperti yang anda tahu, kereta adalah sejenis aset yang semakin lama, semakin susut nilainya.

Kereta baru biasanya akan susut 20% nilainya pada tahun pertama. Masuk tahun kedua sampai tahun ke-10, ia akan susut lagi 15% setiap tahun. Ini bermakna selepas 10 tahun, nilai sesebuah kereta biasanya hanya bernilai 10% daripada nilai masa kita beli.

Sebagai contoh, katakan kita beli Nissan Almera. Masa kita beli Nissan Almera yang baru, harganya RM74,000. Baru setahun pakai, nilainya akan jatuh kepada RM59,200. Lepas lima tahun pakai, nilai Nissan Almera kita adalah RM38,842.

Katakan kita nak jual Nissan Almera tersebut selepas 5 tahun sebab nak pakai kereta lain pula. Masa beli dulu, katakan kita bayar deposit RM5,000. Loan pula kita ambil selama 9 tahun dengan kadar faedah sebanyak 4% setahun. Selepas 5 tahun, kita masih ada hutang RM41,707 dengan bank.

Bermakna, kalau kita nak jual atau trade-in, kita kena top-up RM2,865 duit sendiri dulu. Kemudian baru boleh kita jual atau trade-in kereta baru.

Faktor yang mempengaruhi resale value

Ada beberapa faktor yang mempengaruhi resale value sesebuah kereta. Antaranya:

1. Reputasi jenama

Di Malaysia, ada beberapa jenama yang mempunyai reputasi bagus berbanding jenama lain. Contohnya di Malaysia, jenama seperti Mercedes, Perodua, Honda dan Toyota mempunyai reputasi yang bagus berbanding jenama lain seperti BMW, Proton, Nissan, Mazda, Hyundai, Peugeout dan lain-lain.

2. Harga minyak

Biasanya kereta yang terkenal jimat minyak akan mempunyai resale value yang tinggi.

3. Kos dan kesediaadaan alat ganti kereta

Faktor ini ada kaitannya dengan faktor pertama – reputasi jenama. Salah satu sebab sesetengah jenama ini mendapat reputasi tinggi adalah kerana kos dan kesediaadaan alat ganti kereta Perodua yang lebih murah dan meluas di Malaysia.

Selain itu kualiti servis selepas jualan juga menjadi ukuran. Contohnya, salah satu punca kenapa Perodua mempunyai reputasi tinggi berbanding Proton adalah kerana pengalaman buruk ramai pengguna Proton dengan servis selepas jualannya.

4. Populariti

Bila faktor pertama, kedua dan ketiga digabung, maka secara automatiknya permintaan pelanggan akan meningkat – sekaligus meningkatkan popularitinya. Sebab itu Perodua Myvi lebih popular berbanding Proton Iriz di Malaysia.

5 model kereta di Malaysia yang mempunyai resale value (RV) tinggi

1. Perodua Myvi

Perodua Myvi merupakan kereta paling laris di Malaysia sejak 2006 sehingga kini. Ia merupakan kereta popular yang kerap dijadikan kereta kedua sesebuah keluarga atau kereta pertama orang yang baru masuk kerja.

Harga Perodua Myvi 1.5 Advance baru pada 2015RM58,500
Harga Perodua Myvi 1.5 Advance terpakai pada 2020RM30,000
Peratusan susut nilaiRM28,500 (49%)

2. Honda City

Daripada banyak-banyak model Honda, Honda City merupakan model paling popularnya di Malaysia. Rupa, teknologi, penjimatan minyak dan saiznya sebagai kereta segmen B membuatkannya satu pelaburan berbaloi pada harga antara RM76,000 hingga RM91,000.

Harga Honda City V baru pada 2014RM90,800
Harga Honda City V terpakai pada 2020RM40,000
Peratusan susut nilaiRM50,800 (56%)

3. Toyota Vios

Toyota Vios merupakan pesaing utama Honda City dalam segmen kereta segmen B berjenama import. Mempunyai kelebihan dan harga yang lebih kurang serupa dengan Honda City, Toyota Vios turut popular kerana varian TRD Sportivo keluarannya.

Harga Toyota Vios TRD Sportivo baru pada 2015RM94,800
Harga Toyota Vios TRD Sportivo terpakai pada 2020RM40,000
Peratusan susut nilaiRM54,800 (58%)

4. Honda Civic

Sekarang kita tengok kereta segmen C pula. Pada tahun 2015, Honda Civic yang berspesifikasi paling tinggi dilengkapi dengan powered driver seat, paddle shift, cruise control dan butang push start. Faktor ini menjadikannya sangat popular sehingga kini.

Harga Honda Civic 2.0S baru pada 2015RM132,800
Harga Honda Civic 2.0S terpakai pada 2020RM55,000
Peratusan susut nilaiRM77,800 (59%)

5. Toyota Corolla Altis

Merupakan pesaing Honda Civic dalam kelas kereta segmen C, Toyota Corolla Altis turut dilengkapi dengan semua teknologi yang ditawarkan oleh pesaingnya. Walaupun ia dikatakan kurang berkuasa berbanding Honda Civic, ramai yang memuji persembahan gear CVT Toyota Corolla Altis yang dikatakan lebih lembut.

Harga Toyota Corolla Altis 2.0V baru pada 2015RM136,000
Harga Toyota Corolla Altis 2.0V terpakai pada 2020RM70,000
Peratusan susut nilaiRM66,000 (49%)

*Nota: Semua angka adalah anggaran berdasarkan maklumat yang diperolehi di Carsome. Harga mungkin berubah bergantung kepada keadaan kereta dan faktor-faktor lain.