Video tindakannya menangkap peragut yang tular di media sosial mendatangkan tuah buat Shazrin Hafeez Fadzlan apabila perniagaan burger yang dilakukan secara sambilan ‘diserbu’ orang ramai.

Pembantu Penguatkuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) berusia 26 tahun itu berkata sepanjang menjalankan perniagaan di Jalan Angegrik 40, Taman Johor Jaya di sini, sejak tiga tahun lepas, belum pernah gerai burgernya mendapat sambutan hangat seperti malam, semalam.

“Saya berniaga burger sebagai pendapatan sampingan, bermula pada pukul 7 petang hingga 11.30 malam. Kebiasaannya, boleh jual antara 60 hingga 70 biji burger sehari namun semalam saya menjual lebih 200 biji burger.

“Saya tidak sangka video kejadian itu tular dengan pantas di media sosial dan saya amat berterima kasih dengan sokongan ditunjukkan orang ramai. Sekiranya saya berpeluang melakukan perkara sama pada masa depan, saya tidak akan teragak-agak untuk membantu masyarakat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Selasa lepas tular di media sosial mengenai video memperlihatkan tindakan berani Shazrin Hafeez bergelut dengan seorang peragut di tempat meletak kenderaan di Jalan Austin Height 8/9, Taman Mount Austin.

Mengulas mengenai kejadian itu, Shazrin Hafeez berkata ketika itu dia sedang menjalankan tugas memeriksa petak letak kenderaan berkupon sebelum terdengar jeritan seorang wanita meminta tolong.

https://www.youtube.com/watch?v=8cPSkn8vUyI

“Sebaik menoleh ke arah jeritan itu, saya ternampak peragut tersebut terjatuh daripada motosikalnya ketika cuba melarikan diri.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus meluru ke arah peragut tersebut dan berusaha untuk menahannya. Tindakan itu adalah automatik tanpa mengambil kira risiko yang mungkin berlaku. 

“Mujur orang awam yang berada di sekitar turut datang membantu menahan peragut tersebut,” katanya yang mengalami kecederaan kecil pada tangan kanan akibat pergelutan itu.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: