Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Energesse, Dr Avnesh Ratnanesan meramalkan gelombang kedua wabak COVID-19 mungkin boleh berlaku di negara ini susulan perubahan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan baru-baru ini.

Syarikat penyedia penyelesaian penjagaan kesihatan antarabangsa yang berpengkalan di Australia itu melihat gelombang kedua akan lebih mencabar dan akan mengganggu corak perniagaan dan sosial di seluruh negara.

“Pendekatan yang longgar juga akan memberi kesan kepada petugas penjagaan kesihatan dan sistem kesihatan, yang kebanyakannya telah menghadapi tekanan sejak lapan minggu yang lepas dengan PKP,” kata Dr Avnesh, seorang warganegara Malaysia dan penduduk tetap Australia, kepada Bernama.

Beliau bertanggungjawab dalam menyediakan kaedah dan memberi khidmat nasihat kepada perkhidmatan kesihatan Australia dalam menguruskan pandemik COVID-19 dengan lebih berkesan.

Dr Avnesh Ratnanesan

Dr Avnesh menjelaskan langkah kerajaan untuk membenarkan syarikat beroperasi sepenuhnya mulai 4 Mei lalu, menjurus kepada tahap pengurangan yang dilakukan adalah terlalu cepat berikutan negara lain kini bergelut dengan gelombang kedua selepas mereka berpuas hati dengan menganggap bahawa mereka sudah berjaya mengendalikan gelombang pertama dengan baik.

Beliau turut mencadangkan kerajaan Malaysia untuk menggunakan lebih banyak data, model dan algoritma berasaskan AI untuk membantu dalam membuat keputusan, berbanding pendapat yang subjektif daripada individu yang mungkin tidak memahami sepenuhnya kesukaran kesihatan awam jangka pendek dan jangka panjang serta pemboleh ubah ekonomi yang terlibat.

Contohnya di Australia, syarikat yang diasaskan oleh Dr Avnesh sedang giat membangunkan peralatan digital dinamakan PMme (Pandemic Management for me) – sebuah alat sokongan keputusan dan audit yang disesuaikan untuk Ketua Pegawai Eksekutif penjagaan kesihatan dan pengarah di hospital dan perkhidmatan kesihatan.

“Ia membantu organisasi ini mengenal pasti jurang dan kekuatan mereka terhadap amalan terbaik antarabangsa dalam aktiviti kesiapsiagaan dan tindak balas pandemik. Ia juga membantu mereka memantau dan meningkatkan kemajuan mereka dari semasa ke semasa dalam menguruskan sumber yang terhad dengan berkesan.

“Kerajaan perlu mengimbangi campur tangan jangka pendek PKP dan impak jangka sederhana yang timbul dari tempoh kuarantin selama lebih lapan minggu,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mencadangkan pengenalan ‘Health Hour’ kepada individu yang digalakkan untuk meninggalkan rumah mereka selama satu jam dalam jarak satu kilometer dari rumah untuk berjoging atau bersukan dalam amalan penjarakan sosial yang telah ditetapkan.

Terdahulu, kerajaan memberi jaminan pendekatan yang diambil dalam mendepani penularan COVID-19 di Malaysia berbeza dengan pelaksanaan di Hokkaido, Jepun.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) berkata rakyat tidak perlu bimbang mengenai kemungkinan Malaysia akan dilanda gelombang kedua seperti yang berlaku kepada Hokkaido susulan keputusan negara itu menamatkan perintah berkurung terlalu awal.

Baca juga laporan kami yang lain mengenai COVID-19 di Malaysia: