Twitter, Microsoft, Alphabet, IBM, Adobe, Palo Alto Networks, VMWare dan Vimeo adalah antara gergasi teknologi yang menakluk dunia dengan ciptaan mereka. Kesemua syarikat ini menghasilkan produk yang unik dan sukar ditandingi oleh mana-mana pesaingnya.

Selain daripada keunikan tersebut, terdapat satu lagi persamaan di antara syarikat-syarikat ini. Kesemuanya memiliki Ketua Pegawai Eksekutif atau Pengerusi yang dilahirkan atau berasal dari keluarga di India. Seawal tahun 1992, Satya Nadella menyertai Microsoft dari Sun Microsystems. Selepas mengetuai beberapa projek infrastruktur storan awan terbesar di dunia, beliau kemudiannya diberikan kepercayaan untuk menjadi CEO Microsoft. Ketika Parag Agrawal dilantik oleh Jack Dorsey untuk menggantikan beliau, Silicon Valley dianggap sudah didominasi oleh CEO kelahiran India.

Sehingga kini, enam peratus daripada pekerja di syarikat-syarikat teknologi di Silicon Valley juga berasal dari India. Ini kisah dominasi CEO kelahiran India di Silicon Valley.

1. Sundar Pichai, CEO Alphabet dan Google

Kredit gambar: DNA India

Dilahirkan di Madurai, Tamil Nadu, India pada tahun 1972, Sundar Pichai menyertai Google seawal tahun 2004. Beliau berkelulusan Sarjana Kejuruteraan Bahan dari Stanford University dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Wharton School.

Sundar Pichai merupakan insan yang bertanggungjawab membangunkan Google Chrome dan Chrome OS. Selain itu juga, Sundar merupakan tulang belakang kepada pasukan Google Drive yang sangat sinonim dengan pengguna Android pada hari ini.

Beliau merupakan salah seorang calon yang diteliti oleh Microsoft untuk menggantikan Bill Gates sebagai CEO. Pada tahun 2015, Sundar dipilih sebagai CEO Google, menggantikan Larry Page selepas penstrukturan semula syarikat mereka di bawah Alphabet.

2. Satya Nadella, Pengerusi dan CEO Microsoft

Kredit gambar: CNBC

Satya Narayana Nadella dilahirkan pada tahun 1967 di Hyderabad, Andhra Pradesh, India. Beliau berkelulusan Sarjana Sains Komputer dari University of Wisconsin–Milwaukee pada tahun 1990. Selepas bekerja di Sun Microsystems selama dua tahun, beliau menyertai Google pada tahun 1992.

Pada tahun 1997, Satya Nadella menerima Ijazah Sarjana keduanya dari University of Chicago di dalam bidang pentadbiran perniagaan. Ketika di Microsoft, Satya bertanggungjawab mengetuai dan membangunkan perniagaan berdasarkan pelayan komputer yang bernilai $19 bilion.

Pada tahun 2014, Satya diumumkan sebagai CEO Microsoft yang ketiga, selepas Bill Gates dan Steve Ballmer. Selain Microsoft, Satya juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah bagi Starbucks.

3. Anjali Sud, CEO Vimeo

Kredit gambar: Business Insider

Anjali Sud merupakan anak kepada pasangan imigran dari India. Beliau berkelulusan Sarjana Pentadbiran dari Harvard Business School. Menurut Anjali, ketika di sekolah beliau tidak mempunyai sebarang keyakinan untuk menyambung pelajaran di peringkat tertinggi.

Ketika bapanya berjalan kaki pulang dari tempat kerjanya di kilang barangan plastik, beliau terjumpa buku yang bertajuk The Best High Schools in America. Beliau membeli buku tersebut untuk bacaan anak sulungnya.

Anjali mula merancang masa depannya dengan pembacaan buku tersebut dan memohon ke lebih tiga puluh sekolah yang disenaraikan. Beliau berjaya layak untuk memasuki Phillips Academy Andover dan kemudiannya ke Wharton School, University of Pennsylvania.

Pada tahun 2005 hingga 2014, Anjali bekerja dengan beberapa buah syarikat seperti Time Warner dan Amazon. Beliau menyertai Vimeo sebagai Ketua Pemasaran Global pada tahun 2014, dan kemudiannya dipilih sebagai CEO. Selain Vimeo, Anjali turut menjadi Ahli Lembaga Pengarah untuk Dolby Laboratories.

4. Parag Agrawal, CEO Twitter

Kredit gambar: BBC

Lantikan terbaru di Silicon Valley ini dilahirkan di Ajmer, India pada tahun 1984. Parag Agrawal berkelulusan Sarjana dan Doktor Falsafah di dalam jurusan sains komputer dari Stanford University. 

Beliau memulakan kerjanya di Yahoo! Research dan Microsoft Research, sebelum menyertai Twitter pada tahun 2011 sebagai Jurutera Perisian. Pada tahun 2017, beliau dilantik sebagai Ketua Pegawai Teknologi bagi menggantikan Adam Massinger.

November lalu, di dalam satu tweet oleh Jack Dorsey, pengasas Twitter itu memaklumkan Parag Agrawal akan menduduki kerusi CEO Twitter. Ini selepas Jack Dorsey melepaskan jawatan tersebut.