Susulan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam, netizen di media sosial memulakan kempen menyokong produk Malaysia seperti minyak Petronas.

Ini adalah untuk memastikan aliran mata wang negara kekal berada dalam negara, sekaligus merancakkan lagi ekonomi negara.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bantuan wang tunai secara sekaligus (one-off) sebanyak RM1,600 kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan RM4,000 dan ke bawah.

Ini adalah tambahan kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) yang diterima oleh majoriti golongan tersebut.

Untuk isi rumah yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM8,000 pula, kerajaan akan memberi bantuan wang tunai one-off sebanyak RM1,000.

Untuk para pelajar institusi pengajian tinggi pula, kerajaan memberi RM200 seorang.

Kakitangan perubatan yang terlibat secara langsung dalam pembendungan wabak COVID-19 pula akan menerima elaun khas RM600 sebulan bermula 1 April hingga wabak berakhir.

Anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan pula akan menerima RM200 sebulan bermula 1 April hingga wabak berakhir.

Kerajaan juga akan memberikan RM500 secara one-off kepada lebih 1.5 juta penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk mereka yang bekerja secara kontrak serta pesara kerajaan.

Banyak lagi faedah yang diterima oleh rakyat B40 dari segi penangguhan bayaran pinjaman, penjimatan bil elektrik dan sewa rumah PPR seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri menerusi analogi Makcik Kiah semalam.

Sokong barangan buatan Malaysia

Netizen rata-ratanya memuji Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat tersebut.

Dalam pada masa sama, mereka turut mengingatkan orang ramai yang menerima bantuan supaya mengekalkan aliran wang dalam negara dengan menyokong produk Malaysia.

Iskandar Md Sah dalam status di Facebooknya menyeru rakyat Malaysia supaya bercuti di Malaysia sahaja selepas wabak COVID-19 berakhir.

“Makan di restoran tempatan, tidur di hotel Malaysia, beli produk Malaysia. Bantu syarikat-syarikat kecil yang bergelut kerana kekurangan jualan. Bantu pulihkan ekonomi negara kita!” tulis beliau.

Nadia pula menyeru rakyat Malaysia supaya hanya menggunakan duit bantuan kerajaan di dalam negara sahaja.

“Saya harap rakyat Malaysia gunakan peluang ini untuk pastikan kita beli barangan Malaysia. Pastikan aliran wang domestik negara sentiasa bergerak,” tulisnya.

Teha pula memberitahu Pasaraya Mydin mempunyai satu seksyen khas untuk barangan buatan Malaysia:

https://twitter.com/fthalwyh_/status/1243456924596596736

Jerol pula mengajak rakyat Malaysia supaya membeli minyak Petronas dan memesan makanan dari peniaga kecil.

Saranan beliau dilihat memberi kesan. Irsyaz memberitahu:

“Walaupun aku tau minyak shell ni lagi baek, tapi memang aku akan isi petronas seboleh bolehnya. Sebab ni milik negara. Untung diorang nanti balik ke kita. Petronans walaupun tengah sesak harga minyak jatuh, masih lagi bagi sumbangan RM20 juta.”

Ada juga netizen yang memberitahu BHP juga wajar mendapat sokongan rakyat Malaysia. Khairil Anwar menjelaskan:

“Petron berasal dari filipina. Shell dari belanda. Caltex dari US. BHP hak milik Boustead Malaysia, majoriti saham dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera.”

Dari segi teori ekonomi, kempen membeli barangan buatan Malaysia ini dapat memastikan kegunaan domestik menjadi tinggi sekaligus menurunkan risiko matawang ringgit jatuh di pasaran dunia.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat: