Empat juta pekerja swasta dijangka akan hilang kerja disebabkan kekurangan sokongan kerajaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan kerajaan semalam.

Angka tersebut dianggarkan oleh Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang menurut laporan The Star.

Datuk Michael Kang turut berkata beliau menjangkakan sekurang-kurangnya 50% PKS akan ‘bungkus’ dan empat juta pekerja swasta akan hilang pekerjaan kerana Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat tidak memberi banyak faedah kepada PKS.

Beliau memberi kenyataan ini selepas menerima maklum balas segera dari ahli-ahli Persatuan PKS Malaysia yang ‘sangat tak gembira’ dengan pakej rangsangan ekonomi tersebut.

“Pakej rangsangan ini bagus untuk rakyat. Tapi tak bagus untuk perniagaan. Syarikat akan bungkus dan pekerja swasta akan kehilangan kerja kerana tak banyak faedah untuk PKS.

“Kenapa PKS kena buat pinjaman untuk bayar gaji dan sewa bila mereka tiada pendapatan untuk perniagaan mereka?

“Kebanyakan mereka dah bersedia untuk bungkus dah, lagi-lagi peruncit, yang paling terjejas teruk kerana ketiadaan pelanggan,” kata Kang kepada The Star.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan memperuntukkan tambahan RM4.5 bilion untuk memperkasakan lima inisiatif untuk PKS.

Kerajaan menambah dana Bantuan Kemudahan Khas kepada PKS iaitu sebanyak RM500 juta di bawah skim kredit mikro.

PKS yang mempunyai rekod operasi kurang empat tahun juga boleh memanfaatkan ‘BizMula-i’ dan ‘Biz-Wanita-i’ melalui Jaminan Kredit Syarikat yang menawarkan pinjaman sehingga RM300,000.

Menurut Kang, inisiatif kerajaan yang fokus kepada pinjaman dan kredit tidak akan banyak membantu PKS.

Beliau juga menambah Bantuan Kemudahan Khas mempunyai kriteria yang sangat ketat untuk dimohon.

Dalam pada masa yang sama, Kang berharap kerajaan dapat melihat jalan lain untuk membantu PKS yang menyumbang 38% daripada Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK).

Respon daripada pemilik PKS di media sosial juga senada dengan Kang. Rata-rata mereka melihat walaupun pakej rangsangan ekonomi ini sangat bermanfaat kepada rakyat, ia belum cukup untuk merangsang PKS.

Apa yang kerajaan tawarkan kepada PKS semalam?

Dalam ucapannya semasa mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjanjikan bantuan-bantuan berikut kepada PKS:

1. Subsidi gaji sebanyak RM600 selama tiga bulan untuk pekerja yang bergaji RM4,000 dan ke bawah. Layak untuk syarikat yang pendapatannya berkurangan lebih 50% sejak Januari 2020.

2. Diskaun berperingkat antara 15% hingga 50% mengikut penggunaan kadar elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan ke atas bil elektrik sektor pelancongan .

3. Internet percuma kepada semua pelanggan dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan tamat.

4. Bersetuju untuk membayar gaji yang ditanggung oleh kontraktor perkhidmatan pembersihan dan bekalan makanan bermasak yang terlibat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan walaupun pekerja tidak hadir bekerja.

5. Menambah dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas atau Special Relief Facility untuk PKS sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion. Selain itu, kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75% kepada 3.5%.

6. Meningkatkan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.

7. Menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah. Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah 2% sahaja tanpa cagaran.

8. PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada 4 tahun juga boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.

9. Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70% kepada 80% bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.

10. KWSP akan memperkenalkan program Khidmat Rundingan Majikan pada 15 April 2020. Perkhidmatan ini merangkumi pilihan penangguhan bayaran, penstrukturan dan penjadualan semula sumbangan majikan.

11. Mengecualikan pembayaran levi Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) bagi semua sektor untuk tempoh enam bulan mulai bulan April 2020.

12. Kerajaan juga membenarkan penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua PKS untuk tempoh tiga bulan mulai 1 April 2020.

13. Moratorium bayaran pinjaman bank, TEKUN, MARA dan koperasi serta mana-mana agensi kerajaan yang memberi pinjaman selama enam bulan, penukaran baki kad kredit kepada pinjaman berjangka dan penstrukturan semula pinjaman korporat.

14. Pengenalan satu program kewangan sosial untuk usahawan mikro B40 dengan kerjasama antara institusi perbankan Islam, Majlis Agama Islam Negeri dan rakan-rakan pelaksana utama.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai pakej rangsangan ekonomi susulan wabak COVID-19:

Sumber: