Di atas kertas, Manchester City mempunyai lebih banyak kelebihan berbanding Chelsea. Biarpun tewas di dalam beberapa pertemuan terakhir sebelum ini, mereka mempunyai semangat membara untuk membawa pulang trofi Champions League pertama buat kelab mereka. Baru sahaja dimahkotakan sebagai juara English Premier League bagi musim 2020-2021 serta sudah memiliki Piala EFL buat kali keempat berturut-turut, sukar untuk menafikan kelebihan Manchester City di atas kertas.

Malam di Porto tersebut sepatutnya menjadi malam gemilang buat Pep Guardiola selepas mengendalikan Cityzens sejak pemecatan Manuel Pellegrini pada tahun 2016. Beliau berjaya membawa kelab tersebut ke perlawanan akhir Champions League pertama selepas terkandas di tiga suku akhir serta satu musim lagi di peringkat kalah mati. Segala perancangan beliau lebur di tangan seorang pemain tengah Chelsea bernama N’Golo Kanté.

Strategi 4-3-3 Pep Guardiola yang memakan diri

Kredit gambar: https://www.livescore.com/en/football/champions-league/champions-league-final-stage/manchester-city-vs-chelsea/394838/

Pep Guardiola menggunakan strategi menurunkan Bernado Silva, Illkay Gundogan dan Phil Foden di bahagian tengah. Namun begitu, Chelsea kekal bertahan biarpun diasak bertali arus oleh Cityzens. Dikepalai oleh N’Golo Kanté, beliau dengan tenang menyudahkan perlawanan dengan 85 peratus ketepatan hantaran, 53 sentuhan bola, 11 perebutan bola yang dimenanginya (tertinggi dalam perlawanan) dan 10 pintasan bola yang dirampasnya (juga tertinggi dalam perlawanan).

Kesemua 21 perebutan dan pintasan bola tersebut dimenangi oleh Kanté adalah usaha bersih tanpa sebarang foul yang diterimanya. Biarpun merupakan pemain yang tidak mempunyai ketinggian fizikal, ketinggian 1.67m Kanté ini masih membolehkannya memenagi perlawanan bola di udara sebanyak empat kali.

Gandingan mantap beliau pada malam gemilang Chelsea itu turut dibantu oleh kecekalan seorang lagi pemain tengah bertahan iaitu Jorginho. Dan di atas kecemerlangannya, Kanté dihadiahkan dengan anugerah Permain Terbaik bagi perlawanan tersebut.

Dibandingkan dengan lagenda Claude Makelele

Kredit gambar: https://www.independent.co.uk/sport/football/chelsea-claude-makelele-n-golo-kante-not-good-him-a7771191.html

Bentesan dan pintasan merupakan salah satu daripada aksi bertahan untuk menghalang pihak lawan daripada melepasi pertahanan dan cuba untuk memenangi bola. Peratusan untuk bentesan ini gagal agak tinggi melainkan bagi seorang pemain yang cukup lincah seperti N’Golo Kanté.

Pada malam tersebut, beliau mengekalkan rekod bentesan dan pintasan bersih dan berjaya memenangi perebutan bola dengan rekod 100 peratus. Joe Cole, seorang mantan pemain Chelsea yang turut bermain bersama Claude Makelele memberikan penghargaan yang tinggi kepada Kanté dengan menyamakan aksi beliau setaraf, malah mungkin lebih baik sekiranya dibandingkan dengan Makelele. Untuk rekod, kedua-duanya merupakan pemain tengah bertahan bagi pasukan Chelsea dan juga Perancis.

Claude Makelele merupakan antara bekas pemain tengah bertahan terbaik di dunia dan ironinya, N’Golo Kanté menjadikan Makelele sebagai pemain idolanya.

Pemain tengah yang dianggap lewat menyinar

Kredit gambar: https://www.uefa.com/uefachampionsleague/news/0269-125dd99769cb-a9b4971d3a43-1000–the-rise-and-rise-of-kante/

Hanya pada tahun 2013, sembilan tahun lalu N’Golo Kanté berjaya menjadi seorang pemain professional. Permulaan yang agak lambat ini langsung tidak mematahkan semangatnya. Beliau menjadi pemain professional bersama skuad Boulogne apabila dimasukkan sebagai pemain gantian di Ligue 2, iaitu liga kedua selepas Ligue 1 sebagai liga utama Perancis.

Boulogne turun ke Ligue 3 dan Kanté kekal bersama mereka sepanjang musim 2012-2013 sebelum dilamar oleh Caen dan kembali bermain di Ligue 2 untuk satu musim. Sepanjang bersama Caen untuk musim 2013-2014 tersebut, beliau bermain di kesemua 38 perlawanan dan membantu Caen untuk naik ke Ligue 1. Kanté kekal bersama Caen sepanjang musim 2014-2015 dan bermain sebanyak 37 perlawanan di Ligue 1 sebelum dilamar oleh Liecester City.

RM32.7 juta (£5.6 juta) merupakan jumlah yang dibayar oleh mantan pengendali Chelsea, Claudio Ranieri bagi mendapatkan khidmat N’Golo Kanté di Liecester City daripada kelab Caen. Tahun 2015 iaitu pada usia beliau 24 tahun, Kanté mempunyai rekod dan reputasi sebagai pemain yang mampu merampas penguasaan bola di tahap terbaik berbanding pemain-pemain lain di seluruh Eropah.

Seorang yang pemalu dan sentiasa merendah diri

Kredit gambar: https://www.thesun.co.uk/sport/football/5329476/kante-chelsea-mini-cooper-crash-training-pictures/

Beliau berjaya membantu Liecester City membawa kejayaan sulung English Premier League ke kelab tersebut. Pada penghujung musim kemenangan tersebut, Kanté merekodkan sejumlah 175 bentesan dan 157 pintasan, kedua-dua rekod ini adalah tertinggi berbanding pemain-pemain lain di English Premier League.

Selepas dua musim bersama Liecester City, Kanté dilamar oleh Chelsea pada Julai 2016 dengan nilai perpindahan sebanyak RM187.6 juta (£32 juta). Bersama kontrak tersebut, Kanté dilaporkan menerima gaji sebanyak £144,231 seminggu namun beliau masih memandu kereta Mini Cooper terpakai yang dibelinya semasa bermain bersama Liecester City. Nilai kereta tersebut semasa pembelian beliau dianggarkan sebanyak £20,000.

Menurut laporan media, pada mulanya beliau hanya bercadang untuk tidak membeli kereta dan mahu berlari ke padang latihan Liecester City. Namun cadangan tersebut tidak dipersetujui oleh pengurusan pemain yang menyatakan cara tersebut tidak sesuai di England. Sewaktu di Perancis bersama Boulogne dan Caen, Kanté tidak memiliki kereta malah hanya menaiki skuter untuk ke padang latihan.

Sikap merendah diri beliau terpapar jelas apabila terlibat dengan kemalangan kecil sewaktu di dalam perjalanan untuk bermain bersama Chelsea menentang Arsenal. Kemalangan tersebut menyebabkan Mini Cooper miliknya tersagat dan patah cermin sisi. Kanté dengan tenang masih mampu menghabiskan 90 minit perlawanan tersebut dan hadir ke padang latihan keesokan harinya dengan kereta yang sama, bertampal dengan pita pelekat di cermin sisi.

Selepas berjaya membawa Piala Dunia ke Perancis pada tahun 2018, kini beliau menjulang trofi Champions League bersama-sama pasukan Chelsea. Dan Kanté masih merendah diri seperti peribadi beliau yang dahulu.