Semalam, tular di Facebook cakap-cakap tentang Nilai kini bukan lagi di bawah pentadbiran Negeri Sembilan. Tidak dapat dipastikan bagaimana perbincangan ini boleh bermula. Namun begitu terdapat satu hantaran tular di page N9 Radar dengan poster berlatarbelakangkan gambar beberapa buah kedai di Nilai 3 yang tambah dengan kapsyen “Nilai 3 terletak di negeri Selangor Darul Ehsan”.

Perbincangan hangat tersebut mendapat perhatian pengguna Facebook dan Twitter sehingga menjadi gurauan antara dua orang Menteri Besar Selangor dan juga Negeri Sembilan. Sewaktu Datuk Seri Amirudin Shari berkongsi tentang sejarah kawasan Lukut di Negeri Sembilan yang asalnya berada di dalam pentadbiran Selangor, Datuk Seri Aminuddin Harun mencelah bertanyakan harga untuk ‘membeli’ Nilai 3.

Lain pula ceritanya di Facebook apabila pemilik akaun Facebook N9 Radar diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai untuk memberi keterangan berhubung hantaran dimuat naik oleh akaun terbabit yang didakwa boleh menimbulkan kekeliruan awam. Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, pihaknya telah memulakan siasatan berhubung kenyataan laman sosial N9 Radar, berkaitan Nilai 3 yang dikatakan terletak di Selangor.