Arab Saudi merupakan salah sebuah daripada 10 negara di dunia yang mengharamkan penjualan arak secara menyeluruh, termasuk kepada orang bukan Muslim. Tetapi pengharaman penjualan arak di sana tiada kena mengena dengan perlaksanaan undang-undang Syariah.

Sebaliknya ia bertitik tolak daripada insiden yang berlaku pada tahun 1951 yang melibatkan anak Raja Abdul Aziz ibnu Saud – Raja Arab Saudi pada ketika itu.

Embed from Getty Images

Insiden tersebut berlaku pada November 1951 apabila timbalan konsulat Britain, Cyril Ousman dibunuh di Jeddah.

Ketika Ousman terbunuh, kerajaan Britain mengambil masa yang lama untuk mendedahkan identiti pembunuh kepada media. Bukan kerana mereka tak tahu siapa pembunuhnya.

Laporan media antarabangsa pada awalnya mendedahkan pembunuh terdiri daripada kalangan jemputan tetamu parti yang dianjurkan oleh Ousman di kediamannya. Media turut melaporkan pembunuh mungkin membunuh kerana ada motif politik dan pihak polis sedang giat menjalankan siasatan.

Tetapi semua laporan itu wayang semata-mata.

Hakikat sebenarnya adalah kerajaan British dan Arab Saudi sudah tahu siapa pembunuh Ousman. Ia adalah anak Raja Abdul Aziz, iaitu Putera Mishari.

Mishari merupakan anak ke-18 daripada 45 anak Raja Abdul Aziz, hasil perkahwinan baginda dengan 22 wanita.

Pertemuan Ousman dengan Mishari

Cyril Ousman tiba di Jeddah pada 1929 untuk bekerja sebagai jurutera di kilang penapisan air laut. Pada ketika itu beliau baru berusia 26 tahun. Isterinya, Dorothy Ousman pula bekerja di pejabat Kedutaan Britain di Jeddah.

Raja Abdul Aziz mula kenal Ousman apabila jurutera Britain itu terlibat dalam operasi penemuan minyak petroleum di Arab Saudi pada tahun 1938.

Penemuan ini membolehkan Ousman menjalinkan hubungan baik dengan keluarga diraja Arab Saudi sehingga dilantik menjadi timbalan konsulat di pejabat kedutaan Britain.

Pada satu hari ketika November 1951, Ousman menganjurkan sebuah parti di rumahnya. Antara yang dijemput ke parti tersebut adalah pegawai-pegawai tertinggi Britain di Arab Saudi serta keluarga Raja Abdul Aziz.

Dalam parti tersebut, Ousman mendapati Putera Mishari minum terlalu banyak wiski yang dihidangkan di bar partinya. Menyedari Mishari mula mabuk dan menganggu tetamu lain, Ousman mengarahkan pelayan bar supaya tidak lagi memberikan wiski kepada Mishari.

Mishari berang

Apabila pelayan bar enggan memberikannya wiski atas arahan Ousman, Mishari bergegas pulang ke rumahnya. Ousman menyangka Mishari pulang kerana faham yang beliau sudah mabuk. Tetapi sebaliknya berlaku.

Mishari kembali datang ke parti Ousman beberapa minit kemudian, tetapi kali ini dengan sepucuk senapang The Thompson atau lebih dikenali sebagai ‘tommy gun’ di tangannya.

Putera Arab Saudi tersebut kemudiannya menjerit nama Ousman. Sebaik nampak kelibat Ousman di sebelah isterinya, Mishari mula menembak. Ousman bertindak melindungi isterinya dengan menjadi ‘perisai’, sekaligus mengorbankan nyawanya sekelip mata.

Mishari dihukum

Susulan insiden mengejutkan itu, Raja Abdul Aziz sangat murka dengan Mishari sehingga bertindak menawarkan nyawa anaknya itu kepada isteri Ousman, Dorothy.

Dorothy bagaimanapun tidak menerima tawaran Raja Abdul Aziz tersebut.

Raja Abdul Aziz kemudiannya bertindak memenjarakan Mishari dan menawarkan Dorothy sejumlah wang sebagai pampasan. Balu Ousman itu menerima pampasan tersebut dan berhijrah ke Afrika Selatan.

Mishari bagaimanapun tidak duduk lama di penjara. Sebaik sahaja bapanya mangkat pada tahun 1953, dia dilepaskan dan menceburi bidang perniagaan.

Mishari meninggal dunia di Amerika Syarikat pada 23 Mei 2000 kerana penyakit ‘yang sudah lama dihidapinya tetapi tidak diketahui apa’ menurut buku Twilight in the Kingdom: Understanding the Saudis. Mayatnya dikuburkan di sebuah perkuburan tak ditanda di Riyadh.

Susulan pembunuhan Ousman

Sebelum insiden pembunuhan Ousman pada 1951 ini, Arab Saudi membenarkan penjualan arak kepada warga asing bukan Muslim. Mana-mana orang Muslim yang didapati bersalah minum arak dihukum penjara dan sebat 40 kali.

Tetapi disebabkan Mishari telah didapati bersalah membunuh, hukuman sepatutnya dalam undang-undang hudud adalah mati.

Bagaimanapun disebabkan kedudukan Mishari sebagai anak keluarga diraja, dia tidak dihukum dalam mahkamah syariah. Tiada langsung sebarang rekod Mishari pernah dihadapkan ke mahkamah.

Raja Abdul Aziz pada ketika itu pula melihat kepentingan Arab Saudi menjadi hubungan dengan Britain. Jadi apabila balu Ousman tidak menuntut kematian Mishari, Raja Abdul Aziz tidak melihat keperluan untuk menghukum mati anaknya.

Malah pembunuhan yang dilakukan oleh Mishari dikategorikan sebagai ‘kemalangan’ sebagaimana yang dilaporkan oleh Sharaf Shabri dalam bukunya, The House of Saud in Commerce: A Study of Royal Entrepreneurship in Saudi Arabia.

Tetapi insiden ini membuatkan Raja Abdul Aziz bertindak mengarahkan pengharaman penjualan arak dikuatkuasakan serta-merta, termasuk kepada orang bukan Muslim di Arab Saudi.

Sehingga kini, undang-undang pengharaman arak, waima kepada bukan Muslim, masih berkuatkuasa.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: