Ketika artikel ini ditulis, topik ‘agama BTS’ sedang menjadi topik sohor kini di Twitter Malaysia dan Indonesia.

Menurut seorang pengguna di Twitter yang menggunakan akaun @angelpakaigucci, ‘agama’ itu dikatakan bermula di Indonesia dan mula tersebar ke Malaysia melalui aplikasi Telegram.

‘Agama BTS’ dikatakan ditubuhkan oleh peminat tegar kumpulan K-Pop, BTS yang lebih dikenali sebagai panggilan ARMY.

Menurut perkongsian di Twitter lagi, ‘agama BTS’ tersebut juga mempunyai rukun agamanya tersendiri untuk pengikut. Telegram group ini difahamkan telah pun dipadam.

Perkara ini nampak macam main-main. Tapi sebenarnya tidak kerana wujud unsur-unsur memainkan agama.

Perkara ini juga telah menimbulkan kemarahan peminat BTS yang lain yang berpendapat obsesi secara berlebihan terhadap artis K-POP tidak sepatutnya berlaku.

Namun, ada juga ARMY yang mengatakan ‘agama’ tersebut telah diwujudkan oleh golongan haters BTS yang berniat mahu memburukkan nama kelab peminat kumpulan K-Pop tersebut.

Dikatakan Telegram group tersebut telah dibuat oleh seorang lelaki Indonesia.

Peminat Malaysia setia dengan Islam

Peminat tegar BTS di Malaysia, Mastura Jamil menyangkal dakwaan kumpulan terbabit ditubuhkan peminat dari Malaysia.

Sebaliknya, ibu empat anak itu yang berusia 50 tahun itu berkata, hasil semakan ARMY BTS Malaysia mendapati ‘agama BTS’ itu dipercayai ditubuhkan oleh seorang individu dari Indonesia. Tujuannya adalah untuk memecahbelahkan perpaduan ummah.

“Tindakan itu bukan saja mempersenda agama tetapi mencetuskan fitnah terhadap Army BTS dari Malaysia.

“Lebih menyedihkan apabila ia turut memburukkan negara kerana terdapat logo Jalur Gemilang di kumpulan Telegram itu.

“Hakikatnya, peminat Malaysia tidak fanatik atau taksub sampai ke tahap itu malah hanya berkongsi minat terhadap muzik dan kerjaya BTS apabila berkumpul,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Mastura berharap nama Army BTS Malaysia dapat dibersihkan dan tidak terus terpalit dengan tindakan mempersendakan agama.

“Kami memang ada berinteraksi sesama ahli menerusi Twitter, Instagram, WhatsApp dan Telegram tetapi mana mungkin menubuhkan kumpulan yang boleh memesongkan akidah.

“Malah, saya sendiri sebagai orang lebih berumur sentiasa mengingatkan ahli lain kerana kami seperti sebuah keluarga.

“Apabila timbulnya isu seperti ini, ramai menyalahkan kami dan saya bersama ahli kemungkinan akan membuat laporan polis jika perkara ini terus berlarutan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ahli ARMY BTS Malaysia, Maira berkata, niatnya berkongsi tangkap layar kumpulan Telegram berkenaan di Twitter adalah untuk meminta bantuan pengikut membuat laporan terhadap pemilik akaun. Bukannya menyinggung perasaan sesiapa.

“Disebabkan itu, saya jelaskan di ciapan saya kerana enggan orang menyalahkan satu sama lain sebaliknya bertindak membuat laporan.

“Lagipun, saya bukan peminat atau membenci BTS tetapi kecewa dengan penubuhan kumpulan berkenaan kerana bukan saja mempersendakan agama malah mencetuskan kemarahan orang ramai hingga timbul fitnah terhadap peminat yang tidak terbabit,” kata gadis berusia 21 tahun itu.

Maira berharap isu itu dipandang serius pihak berkuasa dari kedua-dua negara kerana fitnah itu lebih besar kesan buruknya daripada membunuh.

“Bayangkan, anak atau adik menyertai kumpulan berkenaan hanya kerana meminati BTS. Bagaimana dengan akidah mereka? Saya tidak mahu menjatuhkan hukum tetapi kesannya amat membimbangkan,” katanya.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan: