Württemberg, sebuah negeri di bawah German merupakan kawasan yang terkenal dalam melahirkan pencipta. Robert Bosch, Gottlieb Daimler, Count Zeppelin dan Alfred Kärcher dilahirkan dan dibesarkan di negeri Württemberg.

Sejak zaman industralisasi Württemberg dan keseluruhan Eropah, jurutera sentiasa berlumba-lumba bagi menghasilkan produk yang baharu dan berinovasi. Alfred Kärcher tidak terkecuali selepas menamatkan pembelajarannya di Technischen Hochschule Stuttgart.

Alfred mula bekerja di syarikat milik ayahnya sebelum mula berinovasi. Hanya 11 tahun kemudian, iaitu pada tahun 1935, beliau menubuhkan syarikat miliknya sendiri di Stuttgart-Bad Cannstatt.

Inovasi pertama ciptaan Alfred Kärcher bukanlah pembersih lantai, tetapi alat pemanas keluli yang dinamakan sebagai Kärcher salt bath furnace. Ciptaan Alfred ini mampu melembutkan keluli dan aloi serta membentuknya untuk kegunaan industri. Sebanyak 1,200 unit ciptaan pertama Kärcher ini berjaya dijual di pasaran sehingga tahun 1945.

Hanya pada tahun 1950, syarikat Kärcher mula mencipta alatan yang bukan untuk kegunaan industri.

Pembersih lantai berkuasa yang pertama

Kredit gambar: Szerszamdoboz

Pembersih lantai berkuasa tinggi pertama ciptaan Alfred Kärcher ini menggunakan teknologi air panas. Biarpun dicipta kira-kira tujuh dekad yang lalu, asas ciptaan tersebut masih lagi digunakan sehingga hari ini.

Pencuci lantai pertama ini dinamakan sebagai DS 350 steam blaster. Menggunakan teknologi pemanasan stim, ia menjadikan syarikat Kärcher terkenal dan mengubah keutamaan mereka.

Berbanding ciptaan terawal yang berorentasikan industri, Alfred melihat Kärcher lebih cocok untuk mengeluarkan produk berasaskan pengguna. Antara barangan yang dihasikan seterusnya adalah pembersih hampagas kering dan basah, sabun pembersih, pembersih stim.

Namun begitu, Alfred tidak hidup lama untuk menyaksikan syarikatnya mendominasi dunia. Pada tahun 1959, pada usianya 58 tahun, beliau meninggal dunia. Perniagaan Alfred Kärcher SE & Co. KG miliknya diteruskan oleh isterinya, Irene Kärcher.

Warna identiti korporat bertukar 

Kredit gambar: Karcher

Pada asalnya, ciptaan Kärcher menggunakan warna biru muda. Pada tahun 1974, Irene menukarkan warna identiti tersebut menjadi kuning yang menjadikannya sangat terkenal di seluruh dunia.

Ciptaan Kärcher seterusnya merupakan pembersih lantai HD 555. Ciptaan tersebut mendapat permintaan yang tinggi di seluruh dunia.

Kärcher pada hari ini

Kredit gambar: APWC

Pada hari ini, Kärcher mempunyai cawangan di 160 buah negara dengan 100 buah subsidari. Selain daripada ciptaan mereka sendiri, Kärche turut melebarkan sayap perniagaannya ke Amerika Syarikat.

Beberapa jenama pembersih lantai seperti Landa, Hotsy, Shark dan Cuda kini turut dimiliki oleh mereka. Syarikat milik keluarga Jerman ini juga merupakan pembekal peralatan pembersih utama bagi Tentera Amerika Syarikat dan juga NATO.

Terma “Kärcher” juga digunakan di beberapa buah negara seperti Jerman, Perancis, Poland, Russia, Georgia, Mexico dan Amerika Syarikat dengan maksud pembersih lantai berkuasa tinggi. Kini, syarikat ini diterajui oleh dua orang anak Alfred Kärcher iaitu Johannes Kärcher dan Susanne Zimmermann von Siefart. Ia kekal menjadi syarikat milik keluarga Kärcher sehingga hari ini.

Selain sisi perniagannya yang berjaya, syarikat Kärcher juga terlibat di dalam operasi pembersihan berskala besar. Terutamanya pembersihan yang melibatkan monumen terkenal di sesebuah negara. Sebanyak 90 projek berskala besar ini telah dilakukan oleh Kärcher sejak tahun 1980 lagi dengan pembersihan Statue of Christ di Rio de Janeiro, Brazil.

Antara monumen terkenal yang dibersihkan oleh Kärcher adalah seperti Presidents’ Heads di Mount Rushmore National Memorial, Amerika Syarikat dan London Eye di London.