Pengganas insiden di masjid Christchurch di New Zealand, Brenton Tarrant hari ini dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol, atas tindakannya membunuh 51 orang Islam tahun lalu.

Hakim turut menyifatkan perbuatannya sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Adalah tanggungjawab mahkamah untuk bertindak dalam cara yang tegas bagi menggambarkan penolakan jenayah keji ini,” kata Cameron Mander ketika mengumumkan hukuman yang kali pertama dalam sejarah perundangan New Zealand.

Lelaki berusia 29 tahun itu kini tercatat dalam sejarah New Zealand sebagai individu pertama disabit kesalahan sebagai pengganas, dan yang pertama dikenakan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol di negara itu.

Hukuman tersebut dijatuhkan selepas Tarrant mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba membunuh 40 orang dan satu pertuduhan jenayah keganasan pada Mac lepas.

Pengakuan bersalah itu dibuat di Mahkamah Tinggi Christchurch hari ini ketika seluruh New Zealand berada di bawah perintah berkurung susulan penularan wabak COVID-19.

Pada 15 Mac 2019, New Zealand digemparkan dengan dua insiden tembakan besar-besaran di Masjid Al Noor dan Pusat Islam Linwood di Christchurch.

Tarrant dilaporkan tidak menunjukkan sebarang petanda ketika mula berpindah ke New Zealand dari Australia pada 2017, kerana penjenayah itu tiada rekod jenayah lampau atau berada dalam senarai keselamatan.

Selepas berpindah ke Dunedin, New Zealand, dia mula mengumpul pelbagai jenis senjata dengan niat melakukan jenayah terhadap komuniti Muslim di negara itu.

Selepas persediaan rapi, perancangannya menjadi kenyataan pada 15 Mac tahun lalu apabila Tarrant menyerang dua masjid di Christchurch, sambil menyiarkannya secara langsung.

Serangan bersenjata di dua buah masjid di New Zealand itu menggemparkan dunia dan memaksa New Zealand untuk mengetatkan lagi undang-undang senjata mereka yang sudah ketat.

Di bawah undang-undang baru tersebut, senjata separa-automatik gaya militari diharamkan serta-merta. Barang tukar ganti yang boleh digunakan untuk membina senjata tersebut turut diharamkan.

“Beliau berniat mewujudkan perasaan takut terhadap individu yang didakwanya sebagai ‘penceroboh’, termasuk masyarakat Muslim atau secara amnya warga asing di Eropah,” kata pendakwa raya, Barnaby Hawes ketika perbicaraan, di Mahkamah Tinggi Christchurch, minggu ini.

Beberapa maklumat mula dikesan mengenai Tarrent yang tidak bergaul dengan masyarakat dan suka meluangkan waktunya di gimnasium selepas menjadi mangsa buli kerana berat badan berlebihan ketika remaja.

Beliau juga didapati terkesan teruk apabila bapanya meninggal dunia akibat kanser pada 2010 pada usia 49 tahun, namun tiada yang secara jelas mengenai kebenciannya di sebalik jenayah itu.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: