Bangla Hantar Duit RM1,200 Ke Kampung Dengan Gaji RM1,200 Sebulan

Ini kisah mengenai seorang pendatang Bangladesh (bukan PATI) bernama Shah Alam (ya, itu memang namanya) yang bekerja sebagai pekerja am di sebuah stesen minyak Petronas di Selangor.

Gajinya hanya RM1,200 sebulan. Tetapi setiap bulan Shah mampu menghantar RM1,200 kepada keluarganya di Bangladesh. Hebat tak?

Anda tentu tertanya-tanya – bagaimana dia dapat duit untuk makan? Untuk sewa rumah? Untuk topup telefon?

Ini penjelasan Shah yang sudah 12 tahun bekerja di Malaysia:

Berapa gaji sebulan?

“Gaji saya sebulan RM1,200. Dua bulan sekali, saya akan hantar RM2,400 ke keluarga saya di kampung untuk persekolahan anak-anak dan barang-barang dapur,” kata Shah.

Macam mana dapat duit makan kalau tak usik duit gaji?

“Kalau tak nak usik duit gaji, saya kena buat dua kerja. Kerja pertama di Petronas untuk hantar duit ke kampung. Kerja kedua untuk belanja sendiri.

“Lepas bertahun-tahun duduk di Malaysia, saya dapati seseorang boleh hidup dengan hanya RM300 sebulan kalau masak sendiri makanan di rumah.

“Jadi saya kena cari kerja extra lain pada hari cuti untuk tampung belanja sendiri seperti makan dan topup. Kadang-kadang, belanja ini boleh jadi kurang bila bos belanja makan.

Apa kerja extra yang dibuat?

“Macam-macam. Saya ada basikal. Jadi masa hari cuti, saya pinjam mesin potong rumput kawan. Dia bagi pinjam percuma. Cuma minyak mesin kena topup penuh balik masa pulang.

“Masa cuti, saya akan pergi ke rumah-rumah orang. Kemudian saya tawarkan servis potong rumput. Satu rumah saya cas RM50. Satu hari keluar, saya boleh dapat 3-4 rumah. Dua hari keluar dah cukup dah belanja untuk saya sebulan.

“Kadang-kadang kalau tak ada mesin, saya buat kerja lain. Contohnya tolong pemilik kebun racun rumput, cangkul batas dan sebagainya. Sehari kerja dapat RM50. Dan selalunya makan saya ditanggung sekali.

“Bila dah selalu kerja extra ini, kadang-kadang saya tak perlu cari rumah baru dah. Orang yang call saya sendiri untuk datang potong rumput.

Sewa rumah berapa?

“Sewa rumah biasanya bos tanggung. Kena duduk ramai-ramai macam asrama.

“Bila duduk ramai-ramai, belanja makan pun boleh jimat banyak. Sebab setiap dua minggu sekali, saya dan kawan satu rumah akan pergi NSK beli barang dapur.

Kenapa orang Bangladesh banyak beli kentang dan bawang di pasar?

“Bawang kena pakai banyak sebab nak bagi kuah pekat dan sedap. Lagi banyak bawang, kuah lagi pekat dan sedap.

“Kentang pula beli banyak sebab ia karbohidrat paling murah per kilogram. Sekilo kentang baru RM5. Makan 2 orang, pakai sebiji kentang dah cukup kenyang dah.

Kenapa suka kerja di Malaysia?

“Sebab orang Malaysia baik-baik. Melayu baik, Cina pun baik.

“Satu bulan, saya boleh dapat duit extra lebih kurang RM50-100 bila orang tak ambil baki duit lepas isi minyak. Kalau saya kerja mesin rumput, kadang-kadang saya dapat makan percuma.

“Kalau pergi masjid, orang masjid bagi makan percuma.

Besar tak nilai RM1,200 di Bangladesh?

“Nilainya lebih kurang 23,000 taka. Duit sebanyak itu cukup untuk perbelanjaan dua bulan sebuah keluarga di Bangladesh,” kata Shah sebelum mengakhiri perbualan.

*****

Inilah dia rahsia bagaimana Shah Alam mampu menghantar 100% duit gajinya kepada keluarganya di Bangladesh dengan hanya bergaji RM1,200.

Banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada cara Shah Alam bekerja:

1. Mengutamakan keperluan berbanding kemahuan

2. Melengkapkan diri dengan skil untuk menambah pendapatan. Skil memasak menjimatkan kos sara hidupnya. Skil berkebun dan memotong rumput menambah pendapatannya.

3. Menjaga hubungannya dengan orang. Ini membolehkan rezekinya sentiasa luas. Orang panggil datang memotong rumput. Orang masjid bagi makan.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Bacaan Seterusnya