Kerajaan mengeluarkan peruntukkan besar iaitu RM90 sehari untuk setiap pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk etnik Rohingya yang ditempatkan di depoh tahanan seluruh negara.

Timbalan Menteri I Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, berkata perbelanjaan yang dibuat atas dasar perikemanusiaan itu antaranya membabitkan peruntukkan bagi kos makanan, pakaian dan kesihatan.

“Walaupun kita adalah negara yang tidak menandatangani protokol tersebut (Protokol Status Pelarian 1967), tetapi atas sebab perikemanusiaan, apabila mereka mendarat di negara kita, kita letakkan di depoh tahanan dan memberikan makanan dengan belanja cukup besar pada kadar RM90 sehari,” katanya sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) sama ada kerajaan mahu mengambil pendekatan lain dalam isu berkaitan pelarian Rohingya susulan laporan etnik itu dikhuatiri lemas di perairan barat Pulau Langkawi kerana pendirian kerajaan tidak membenarkan kemasukan mereka ke negara ini.

Kerajaan tidak mengiktiraf status pelarian Rohingya dan mengklasifikasikan mereka sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Ini disebabkan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, sekali gus tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di negara ini.

Ismail berkata, ketika penularan wabak COVID-19, Malaysia memang menghalang kemasukan PATI termasuklah melalui perairan, sama ada dari Myanmar atau negara lain.

Namun begitu pihak berkuasa iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan tentera tidak mengusir mereka secara keras sebaliknya golongan itu diberikan bantuan makanan dan kesihatan sebelum diminta keluar dari perairan negara.

Menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) mengenai langkah strategik mengesan lorong tikus di negara ini, Ismail berkata, antara tindakan dibuat termasuklah pelaksanaan Ops Benteng dan pemeriksaan ‘snap chat’ dengan tangkapan dibuat hingga Jun lalu adalah 1,622 orang dan kos nilai barangan yang dirampas ialah RM31.5 juta.

“Lorong tikus menjadi masalah besar bagi kemasukan PATI di negara kita, …hingga kini ada 546 lorong tikus dikenal pasti di seluruh negara termasuk 169 di Kelantan dan lima di Bachok. Lorong tikus ini berubah-ubah dan menjadi masalah bagi penguatkuasaan khususnya di sempadan Sabah dan Sarawak.

“Sebab itu, kita mempunyai pelan strategik antara agensi penguatkuasaan di bawah kementerian dan tentera, …malah sempena COVID-19 ini, kerajaan juga prihatin dengan meluluskan peruntukkan RM45.1 juta bagi pembelian aset baharu iaitu 200 unit pacuan empat roda dan 300 unit motor (motosikal) scrambler,” katanya.

Beliau berkata, kementerian tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan tekong bagi penyeludupan PATI di negara ini termasuk mengenakan tindakan lebih berat terhadap golongan itu termasuk daripada agensi penguatkuasaan sendiri.

Mengenai usaha membawa balik PATI ke negara asal, beliau berkata, kementerian sudah mengadakan mesyuarat dengan negara jiran dan banyak daripada mereka memberikan kerjasama cukup baik untuk tujuan itu.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: