Syarikat penggera keselamatan ADT baru-baru ini memfailkan saman terhadap pesaingnya Ring kerana meniru logo oktagon ikonik berwarna biru milik mereka pada penggera di luar rumah pelanggan. Logo berbentuk oktagon berwarna biru tersebut telahpun dipatenkan oleh ADT sejak 1990-an lagi.

Saman ini difailkan kerana Ring menggunakan penggera dengan rupa yang sama dengan logo tersebut di rumah pelanggannya, sama seperti yang dipraktiskan oleh ADT sejak sekian lama. Apabila Ring menggunakan logo yang hampir sama seperti ADT, syarikat tersebut dilihat berniat jahat mahu pelanggan terkeliru tentang adanya hubungan di antara dua pesaing tersebut. Selain itu juga Ring dilihat seolah-olah mahu menggunakan kredibiliti ADT yang telahpun dipercayai sejak 147 tahun lalu.

Sebenarnya ini bukanlah persaingan baru antara ADT dengan Ring yang dimiliki oleh Amazon. Pada tahun 2017, Ring didapati bersalah apabila membeli syarikat yang sebelum ini dimiliki oleh ADT, lantas mendapat manfaat daripada maklumat dalaman yang dimiliki oleh syarikat tersebut. Keputusan penghakiman sewaktu perbicaraan memihak kepada ADT dengan Ring diberikan perintah injuksi bagi menghentikan semua transaksi penjualan mereka. Atas persetujuan bersama, Ring akhirnya membayar RM102 juta (USD$25 milion) kepada ADT atas kesalahan ini.