Akibat melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa minggu lalu, anak kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi iaitu Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid, dan suaminya Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff akan dituduh di mahkamah dalam tempoh terdekat.
Dalam satu kenyataan bertulis, Datuk Huzir Mohamed, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menyatakan pihaknya telah mendapat arahan dari pihak Jabatan Peguam Negara untuk menuduh kedua-duanya.
“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) JSJ Bukit Aman dan kedua-duanya telah diambil keterangan pada 24 April lalu.
“Siasatan mendapati Datuk Nurul Hidayah telah memuat naik gambar di Instagram dengan beberapa kapsyen tentang pertemuannya dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Ahmad Masrizal Muhammad,” katanya.
Susulan itu, kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan sudah mendapat arahan untuk menuduh kedua-duanya mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.3) 2020 dalam masa terdekat.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak cuba menimbulkan kegusaran dan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat seolah-olah Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mengambil tindakan ke atas dakwaan pelanggaran itu.
Malah, tindakan Nurul yang tanpa segan silu berkongsi aktiviti mereka melanggar arahan PKP di laman sosial Instagram seolah-olah mencabar undang-undang negara.
“PDRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sesiapapun yang akan terlepas daripada sebarang tindakan sekiranya didapati dengan sengaja melanggar apa juga undang-undang negara,” tegas Huzir.
Nurul Hidayah, 41, memuat naik beberapa gambar di Instagram ketika dia dan suaminya bertemu Dr Zulkifli serta Ahmad Masrizal di pejabat masing-masing.
Sejak itu, laman Instagram miliknya menjadi perhatian netizen untuk meluahkan perasaan tidak puas hati dengan tindakan melampaui batas itu.
Baca juga artikel lain berkaitan wabak pandemik COVID-19: