Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa sejak 18 Mac 2020 telah membuatkan negara rugi RM63 bilion, menurut Perdana Menteri dalam perutusan khasnya sempena Hari Pekerja.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu penutupan aktiviti ekonomi akibat penguatkuasaan PKP telah membuatkan kerajaan rugi RM2.4 bilion sehari. Jumlah ini dipercayai adalah dari segi kutipan cukai dan kesan ketiadaan aliran wang dalam negeri.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut memberitahu:

“Jika PKP dilanjutkan sebulan lagi, negara akan kehilangan kira-kira RM35 bilion lagi. Ini bakal menjadikan jumlah kerugian negara menjadi RM98 bilion.”

Sehubungan dengan itu, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan aktiviti ekonomi kembali dibuka. Bagaimanapun Muhyiddin berkata PKPB ada syaratnya.

“Hampir semua aktiviti ekonomi akan dibenarkan beroperasi secara terkawal dan berhati-hati bermula 4 Mei,” kata beliau.

“Restoran boleh dibuka mulai 4 Mei dengan mengamalkan penjarakan sosial.”

Menurutnya lagi, walaupun restoran boleh dibuka, pengusaha restoran mesti mengikuti Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Dalam SOP ini, orang ramai termasuk warga asing akan mula dibenarkan mengunjungi dan makan dalam restoran selagi mematuhi arahan penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri dan memakai topeng muka.

“Tetapi lagi elok jika anda bungkus sahaja makanan,” jelas Muhyiddin lagi.

Perdana Menteri juga menyarankan supaya majikan melaksanakan waktu kerja anjal bagi mengelakkan ramai pekerja berada di premis kerja pada waktu yang sama.

Mengenai perkara-perkara yang tak dibolehkan dalam PKPB, Perdana Menteri menyenaraikan aktiviti-aktiviti berikut sebagai larangan:

1. Semua aktiviti riadah dan sukan melibatkan perhimpunan ramai di stadium seperti bola sepak. Bagaimanapun sukan di mana pemain tidak perlu melakukan kontak rapat seperti tenis, golf dan badminton dibenarkan.

2. Aktiviti seperti panggung wayang, bazar, taman tema, persidangan tidak dibenarkan.

3. Aktiviti pendidikan di semua sekolah kolej juga belum boleh dibuka.

4. Semua aktiviti keagamaan melibatkan perhimpunan ramai tidak dibenarkan.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan: