Malaysia mempunyai sistem rangkaian lapangan terbang antarabangsa dan domestik yang lengkap, moden dan bertaraf dunia. Lapangan-lapangan terbang di Malaysia mempunyai kemudahan bertaraf antarabangsa dan kapasiti lapangan terbang yang boleh menampung keperluan pertambahan penumpang dan operasi syarikat penerbangan sama ada dalam dan luar negeri.

Sehingga hari ini, Malaysia mempunyai enam buah lapangan terbang antarabangsa, 16 buah lapangan terbang domestik dan 18 buah padang terbang yang juga dikenali sebagai STOLports (short take off landing ports) untuk menampung permintaan penumpang yang semakin bertambah dan menampung operasi pelbagai jenis pesawat.

Berikut merupakan sedikit perbincangan tentang sejarah dan latar belakang lapangan terbang antarabangsa dan domestik yang terdapat di dalam negara.

Perdebatan tentang lapangan terbang pertama

Kredit gambar: https://independent.my/mb-inc-nafi-ltt-diserah-kepada-pemaju/

Terdapat beberapa perdebatan tentang lapangan terbang pertama yang dibina di Malaysia. Menurut rekod Arkib Negara, Lapangan Terbang Sungai Besi di Kuala Lumpur direkodkan sebagai lapangan terbang pertama di negara ini. Lapangan Terbang Kuala Lumpur ini mula dibina pada tahun 1930 dan diperbesarkan pada tahun 1948 dan mempunyai ukuran 6,200 kaki panjang. Kapal terbang pertama yang mendarat di lapangan terbang ini ialah sebuah pesawat British, B.O.A.C. pada tahun 30an.

Pada 1 Ogos 1956, Lapangan Terbang Kuala Lumpur telah diisytiharkan sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman serentak dengan pembukaan rasmi bangunan pengkalan baru yang bernilai $590,000. Pada hari ini, Lapangan Terbang Kuala Lumpur tidak lagi digunakan bagi memberi laluan kepada pembinaan Bandar Malaysia.

Namun begitu, terdapat beberapa perdebatan tentang statusnya sebagai lapangan terbang pertama di Malaysia. Ini kerana, terdapat catatatan tentang Lapangan Terbang Taiping yang terletak di Tekah dan ia juga dikenali dengan nama Tekah Airport. Lapangan Terbang Taiping dibina dalam tahun 1929 dan ia adalah merupakan sebuah lapangan terbang pertama yang secara rasminya ditubuhkan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan berkemungkinan juga ia adalah lapangan terbang komersil pertama di Asia Tenggara.

Selain itu juga, terdapat sebuah lagi lapangan terbang yang dianggap jauh lebih awal berbanding Lapangan Terbang Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Taiping iaitu Lapangan Terbang Alor Setar. Sekitar enam tahun sebelum pembinaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur dan lima tahun sebelum pembinaan Lapangan Terbang Taiping, sebuah pesawat Royal Dutch Airlines (KLM) direkodkan telah mendarat di Kepala Batas, Alor Setar pada 21 November 1924.

Ketiadaan sebarang struktur binaan berkemungkinan menyebabkan sejarah pembinaan lapangan terbang tersebut langsung tidak direkodkan.

Lapangan terbang antarabangsa dan pelan seterusnya

Kredit gambar: https://www.kosmo.com.my/2021/02/27/lapangan-terbang-sultan-ismail-petra-akan-dinaik-taraf-april-ini/

Malaysia mempunyai enam lapangan terbang bertaraf antarabangsa iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Kesemua lapangan terbang ini mengendalikan operasi penerbangan domestik dan juga antarabangsa.

Terdapat dua buah lapangan terbang lagi yang sedang dan bakal dinaik taraf sebagai lapangan terbang bertaraf antarabangsa iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Kedah dan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Kota Bharu.

Setakat ini, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim beroperasi sebagai lapangan terbang domestik dan juga digunakan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Manakala Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra merupakan lapangan terbang domestik ketiga tersibuk di Malaysia sebelum pandemik Covid-19.