Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap virus penyakit COVID-19 mendapati terdapat satu (daripada 30) strain mutasi virus tersebut boleh bertindak lebih agresif sehingga menyebabkan jangkitan kepada 120 pesakit lain.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia membabitkan kes ke-26, di mana mutasi tersebut dikesan pada codon 15.

“Difahamkan ada 30 mutasi setakat ini. Di Institut Kajian Perubatan (IMR) kita laksanakan pengasingan dan kultur virus.

“Kita dapati Kes-26 contohnya, ada satu mutasi. Dan mungkin sebab mutasi ni jadikan virus lebih ganas telah merebak dan jangkiti 120 orang.

“Jadi mutasi baru lebih dahsyat lagi. Itu pasti,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Hisham sebelum itu ditanya oleh media mengenai kajian di Institut Genomik Bioperubatan Negara (NIBMG) India yang menemui 10 mutasi Covid-19, yang dikatakan lebih berbahaya.

Sebagai rekod, pesakit kes ke-26 telah dikenal pasti sebagai Hisham Hamdan yang merupakan Pengerusi UDA Holdings dan Pengarah Eksekutif Khazanah.

Hisham tampil mededahkan dirinya sebagai psakit kes ke-26 awal bulan lepas susulan laporan media dan kritikan terhadapnya kerana didakwa mencetuskan kluster jangkitan.

Beliau dilaporkan telah mengunjungi Shanghai, China pada pertengahan Januari sebelum mula mengalami gejala pada 27 Februari.

Selepas mengalami gejala, beliau kemudiannya mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya.

Selepas itu, beliau dirujuk kepada rawatan di Hospital Sungai Buloh pula setelah diuji positif COVID-19. Ini menyebabkan pihak KKM bertungkus-lumus untuk menguji semua kenalan rapat dan ahli keluarganya yang mempunyai sejarah kontak dengan beliau sejak pertengahan Januari.

Mengulas lebih lanjut mengenai mutasi Covid-19 di negara ini, Noor Hisham mengatakan bahawa IMR telah membuktikan bahawa kebanyakan kes positif yang dikesan pada gelombang pertama dan bahagian awal gelombang kedua adalah dari Strain B.

Strain B adalah strain yang dapat dijejak dengan jangkitan di Wuhan, China, sementara Strain A kebanyakan dijumpai di AS, dan Strain C kebanyakan dijumpai di Eropah.

“Yang penting sekarang adalah melakukan penyelidikan mengenai gelombang kedua, yang melibatkan pesakit positif kita yang kembali dari negara-negara tertentu,” tambah Noor Hisham.

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan:

Sumber: