Sejak Oktober lalu, berlaku kenaikan mendadak harga telur ayam bagi kesemua gred. Bagi harga runcit telur gred A, ia naik daripada 44 sebiji kepada 47 sen, gred B daripada 42 sen kepada 45 sen dan gred C daripada 40 sen kepada 43 sen.

Sebagai perbandingan, harga telur ayam pada bulan Mei lalu jauh lebih rendah. Telur ayam Gred A dilaporkan pada Mei lalu iaitu pada paras 36 sen sebiji, diikuti telur Gred B dengan harga 33 sen dan Gred C dengan harga 29 sen. Harga telur ayam sentiasa berubah-ubah kerana ia bergantung kepada kos pengeluaran di ladang ayam.

Kenaikan harga telur ayam ini membawa kepada persoalan tentang kandungannya. Ini kerana, terdapat pelbagai jenis telur ayam di pasaran. Ada yang diiklankan dengan mengandungi Omega 3, organik, telur ayam kampung dan bermacam-macam lagi.

Perbezaan jenis telur ayam ini membawa kepada julat warna yang berbeza bagi kuning telur. Ini fakta disebalik warna kuning tersebut.

Kepentingan kuning telur 

Kredit gambar: Fitwirr

Mengapa kandungan telur selalu diukur pada warna kuning telur tersebut? Jawapannya mudah sahaja, kuning telur merupakan bahagian yang paling banyak nutrisi di dalam telur ayam.

Kuning telur yang berwarna oren mempunyai kandungan beta karotin telur yang lebih tinggi daripada kuning telur yang berwarna kuning. Kandungan ALA bagi kuning telur yang berwarna oren juga jauh lebih tinggi. ALA ialah salah satu zat dari Omega 3.

Malah, kandungan ALA di dalam telur ini kerap dibandingkan dengan kandungan dan khasiatnya seperti ikan Salmon. Maka, kuning telur yang berwarna oren ini adalah jauh lebih berkhasiat.

Berbeza mengikut makanan ayam

Kredit gambar: Brittanica

Warna kuning telur ini berbeza mengikut jenis makanan yang dimakan oleh ayam. Ini yang membezakan kandungan nutrisi yang terkandung di dalam kuning telur tersebut.

Telur Omega 3 ini dihasilkan menerusi ayam yang diberi makanan yang kaya dengan asid lemak Omega 3. Maka, tuduhan bahawa telur Omega 3 ini disuntik dengan bahan tambahan adalah salah. 

Sekiranya makanan ayam tersebut kurang berkhasiat seperti bijirin dan gandum semata-mata, kuning telur akan menjadi warna kuning pucat. Makanan ayam yang lebih berkualiti membawa kepada telur yang lebih berkualiti.