Aliph pastinya bukan jenama kasut mahal yang berada dalam fikiran generasi muda Malaysia ketika ini. Tetapi, percaya atau tidak, kasut Aliph merupakan jenama kasut buatan Malaysia paling mahal ketika ini.

Sepasang kasut Aliph, jika dijaga dengan baik, boleh mencecah harga setinggi RM3,000! Kalah harga Nike Airmax, adidas Ultraboost, adidas Yeezy dan Air Jordan.

Persoalannya sekarang – kenapa kasut Aliph merupakan kasut buatan Malaysia yang paling mahal? Untuk menjawab soalan ini, kita kena menyelusuri sejarah jenama Aliph terlebih dahulu.

Kasut Aliph produk Sime Darby

Aliph merupakan sebuah jenama kasut sukan dan kasual buatan Malaysia yang terkenal pada dekad 1980-an. Pengeluar jenama ini adalah Sime Darby Footwear Sdn Bhd yang bertapak di Alor Gajah, Melaka. Siapa sangka dulu-dulu Sime Darby pun buat kasut?

Sejak dari hari pertama Sime Darby Footwear membuat kasut Aliph, jelas pasaran sasaran (target market) mereka adalah golongan lelaki muda.

Jadi untuk memasarkan Aliph kepada pasaran arus perdana, Sime Darby Footwear menaja kumpulan-kumpulan rock popular dan filem pada era 80-an.

Antara filem-filem tempatan yang pernah mendapat tajaan peletakan produk (produk placement) oleh Aliph adalah Rozana Cinta ’87 (1987), Jejaka Perasan (1986) dan Ragam Pemandu (1989).

Hamid Gurkha (kanan) memakai kasut Aliph dalam filem Ragam Pemandu.

Tetapi kejayaan terbesar strategi pemasaran Aliph berlaku selepas mereka menaja kasut rasmi kumpulan Search, Wings, Lefthanded dan SYJ. Kemudian setiap kumpulan rock ini pula diberi ruang kerjasama untuk menghasilkan rekabentuk kasut Aliph yang unik dengan identiti kumpulan masing-masing.

Antara model Aliph yang dikeluarkan hasil kerjasama dengan ikon-ikon muzik pada ketika itu adalah Aliph Search, Aliph Wings, Aliph Lefthanded dan Aliph SYJ.

Turut dikeluarkan adalah model Aliph Marathon, Aliph International, Gold Smith, Troopers dan banyak lagi.

Harganya pula pada ketika dijual antara RM20 hingga RM70 sepasang*.

* Selepas diambilkira inflasi, RM70 pada tahun 1987 bernilai kira-kira RM165 pada hari ini.

Puncak kemasyhuran Aliph di Malaysia tiba selepas kumpulan Search pernah dilantik sebagai duta rasmi jenama produk itu.

Strategi Aliph menggunakan ikon muzik untuk memasarkan produk mereka ini tidak asing dengan strategi pemasaran jenama-jenama kasut luar negara.

LA Gear seperti contoh, pernah bekerjasama dengan Michael Jackson pada tahun 1989. Kemudian pada tahun 2009, Converse bekerjasama dengan Metallica dan Black Sabbath. Jenama Vans pula bekerjasama Iron Maiden, Motorhead dan Slayer.

Masalah Aliph

Adat ekonomi makro – bila permintaan tinggi, barang jadi mahal. Bila barang jadi mahal, muncullah pula produk tiruan.

Susulan kenaikan populariti Aliph di pasaran, semakin banyak kasut tiruan jenama itu dikeluarkan bermula lewat era 80-an. Disebalik amaran akan menyaman sesiapa yang menciplak kasut Aliph, Sime Darby Footwear pada ketika tak berupaya untuk melenyapkan lambakan kasut-kasut Aliph tiruan di pasar malam.

Ini kerana pada era 80-an, kasut Aliph yang dikeluarkan dari kilangnya di Melaka semuanya berkualiti tinggi. Apabila barang berkualiti tinggi dihasilkan, jumlah pengeluaran produk perlu dihadkan untuk menjamin kualiti.

Tetapi dek terkejar-kejar permintaan daripada masyarakat yang mahukan kasut Aliph yang murah, pada awal era 90-an Sime Darby Footwear pun mula merendahkan gred kualiti bahan yang digunakannya. Bila gred kualiti turun, jumlah pengeluaran pun dapat ditingkatkan.

Tetapi perubahan strategi Sime Darby Footwear inilah yang menjadi titik tolak permulaan kejatuhan jenama Aliph.

Kasut jenama Aliph mula dikaitkan dengan kualiti rendah. Apabila Aliph cuba menjual model kasutnya yang mahal dan berkualiti tinggi semula, orang sudah tak percayakan jenama dan kualiti Aliph. Lama-lama, Aliph pun ‘mati’.

Satu lagi faktor adalah penurunan populariti muzik rock di Malaysia bermula pada era 90-an. Remaja pada era ini tidak lagi menganggap muzik rock yang diperjuangkan Search dan Wings sebagai ‘cool’.

Jangan salah sangka. Search dan Wings masih lagi popular pada era 90-an. Tetapi hanya oleh remaja era 80-an yang sudah meningkat dewasa pada era 90-an. Kegagalan Aliph berevolusi seiring dengan trend muzik menyumbang kepada ‘kelayuan’ jenama mereka.

Jenama Aliph popular semula

Kematian jenama Aliph bermakna kasut-kasutnya yang terjual pada era 80-an menjadi barang vintaj dan mula diburu oleh pengumpul kasut.

Kualiti kasut Aliph keluaran era 80-an yang lebih tinggi berbanding era 90-an membuatkan model-model keluaran 80-an seperti Search, Wings, Lefthanded, SYJ, Gold Smith, Startrik, Melissa Hi-Flex dan Troopers dicari semula oleh peminat kasut vintaj.

Carian yang kami buat di Mudah.my menunjukkan sepasang kasut Aliph era 80-an kini mencecah harga ratusan ringgit, bergantung kepada keadaannya.

Ada beberapa komuniti pengumpul kasut Aliph di Facebook yang masih aktif menjual dan membeli kasut Aliph, antaranya Group Kasut Aliph.

Komuniti yang ditubuhkan pada Jun 2015 ini sudah mengumpul lebih 15,000 pengikut, boleh dianggap besar saiznya.

Dalam temuramah bersama Harian Metro, seorang pengumpul kasut Aliph, Mohamad Amer mengaku sudah berbelanja lebih RM30,000 untuk membeli koleksi kasut Aliph.

Menurutnya, Aliph Wings yang dimilikinya kini dianggarkan berharga RM3,000.

Rakannya, Mohamad Mirza, pula sudah berbelanja lebih RM50,000 dan pernah menjual Aliph Search dengan harga RM3,000.

Semua ini menunjukkan barangan buatan Malaysia juga boleh menambat hati dan berharga tinggi jika mempunyai kualiti tinggi. Tuhan saja tahu apa potensi Aliph jika Sime Darby tidak membuat kesilapan pada era awal 90-an.

Dan kami merasakan bukan satu kebetulan apabila pada pertengahan tahun 2010, Sime Darby memilih nama Alif untuk produk minyak masak keluaran mereka.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: