Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini meneruskan lagi pencarian pemenang bagi Cabutan BSN SSP (Sijil Simpanan Premium), termasuklah jutawan ke-8 BSN SSP, sekali gus bergelar ‘Jutawan Merdeka’ untuk tahun 2020.

Ketua eksekutif BSN Datuk Yunos Abd Ghani berkata ganjaran sebanyak RM1 juta terus ditawarkan setiap bulan dan istimewanya pada bulan ini, pemenang jutawan BSN SSP juga bakal bergelar ‘Jutawan Merdeka’.

“Selain itu, pada Disember 2020 nanti, jumlah ganjaran bagi Cabutan Istimewa BSN SSP akan digandakan kepada RM2 juta. Ini merupakan kali kedua BSN meneruskan ganjaran hebat ini setelah memperkenalkannya pertama kali pada tahun 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk menyertainya, penyimpan hanya perlu mempunyai simpanan minimum RM3,000 dengan tempoh minimum simpanan selama 90 hari.

Buat kali ketiga pada tahun ini, Cabutan Khas Tempatan telah menyaksikan lima pemenang dari setiap negeri memenangi hadiah utama simpanan tunai dalam bentuk BSN SSP bernilai RM10,000.

Cabutan yang diadakan setiap tiga bulan sekali iaitu pada bulan Februari, Mei, Ogos dan November 2020 adalah terbuka kepada pelanggan berumur 12 tahun ke atas yang menyimpan BSN SSP dengan simpanan minimum RM10.

Pelanggan sedia ada boleh membuat simpanan BSN SSP menerusi kaunter Cawangan BSN, mesin juruwang automatik, mesin deposit tunai, perbankan internet di myBSN dan menerusi saluran Ejen Bank.

Bagi pelanggan baharu pula, pembelian BSN SSP boleh dibuat di kaunter Cawangan BSN di seluruh negara.

Baca juga artikel lain yang berkaitan: