Raja Kartel Dadah Clan del Golfo, Dairo Antonio Úsuga yang dikenali sebagai Otoniel akhirnya ditahan oleh pihak berkuasa Colombia. Beliau merupakan penjenayah paling dikehendaki oleh pihak berkuasa atas kesalahan pengedaran kokain.

Penahanan Otoniel ini mengakhiri cengkaman dan penguasaan Clan del Golfo terhadap sindiket penyeludupan kokain ke Amerika Syarikat. Beliau ditahan di dalam hutan simpan tebal di utara Colombia.

Ketika ditahan, Otoniel dikatakan mengangkat kedua-dua tangannya dan tidak memberikan tentangan kepada seorang anggota Tentera Khas yang mendekatinya. Beliau turut memperkenalkan dirinya, meminta air minuman dan merayu agar tidak dibunuh.

Memiliki 132 waran tangkap

Kredit gambar: DEA

Antara kesalahan yang bakal didakwa terhadap Otoniel adalah menguasai sindiket pengedaran kokain terbesar di Colombia. Waran tangkap terawal yang dikeluarkan kepada beliau adalah dari Amerika Syarikat pada tahun 2003.

Sebanyak RM20.7 juta ($5 juta) ditawarkan oleh kerajaan Amerika Syarikat terhadap sesiapa yang mengetahui lokasinya. Otoniel didakwa menyeludup sebanyak 73 tan metrik kokain ke negara tersebut sejak 2003 hingga tahun 2014.

Sebagai ketua kartel, keberadaan Otoniel bukanlah mudah untuk dijejaki. Tentera Colombia mengambil masa hampir sepuluh tahun untuk menjejaki kedudukannya.

Beliau yang menghadapi masalah sakit buah pinggang dan tulang belakang akhirnya dikesan melalui kumpulan perubatan yang menghantar ubat-ubatan.

Ditahan oleh sepasukan 500 orang tentera

Kredit gambar: Clean Bowled

Operasi pencarian dan penahanan Otoniel dinamakan sebagai Operación Osiris. Mengambil nama sempena Raja Bawah Tanah zaman Mesir Purba, operasi ini diperkuatkan oleh 500 orang tentera khas, komando dan polis.

Dengan kekuatan lebih 20 helikopter dan 10 dron, pasukan ini mengepung hutan seluas 3.5 km persegi sejak hari Jumaat. Tentera laut turut membantu dengan menghantar kapal tentera bagi mengepung jalan air.

Seorang polis dikatakan terbunuh di dalam operasi ini.

Berakhirnya kartel Otoniel, raja dadah selepas Pablo Escobar

Kredit gambar: Kuwait Times

Menerusi sidang televisyen khas, presiden Colombia menyifatkan negara tersebut telah menang. Beliau turut menyamakan penahanan Otoniel sebagai kejayaan terbesar selepas pembunuhan Pablo Escobar pada tahun 1993.

Ivan Duque menyifatkan Otoniel sebagai penjenayah dadah paling ditakuti di dunia.

Namun begitu, persoalan sama ada lumpuhnya kartel Clan del Golfo ini melumpuhkan penyeludupan kokain amatlah diragui. Ini kerana, penahanan Otoniel hanya menjadikan kerusi raja kartel dadah tersebut kosong dan bakal diisi oleh kartel lain.

Kajian menunjukkan kartel Clan del Golfo menguasai 70 peratus daripada penyeludupan kokain ke seluruh dunia.