Filem Litar Kasih merupakan filem terbitan United Movie yang dikeluarkan pada tahun 1996. Ia merupakan filem pertama di Malaysia yang diklasifikasikan sebagai filem 18SX oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).

Filem yang diarah oleh Eddie Pak dan dibintangi oleh Azhar Sulaiman, Faizal Hussein dan Linda Rafar ini mengisahkan tentang persaingan Hisyam, seorang mekanik motosikal (lakonan Azhar Sulaiman) dengan Herman, seorang pelumba profesional motosikal cup prix (lakonan Faizal Hussein) dalam merebut cinta Mira, seorang budak liar (lakonan Linda Rafar).

Litar Kasih pada mulanya diluluskan oleh LPFM untuk tontonan umum (kategori U) selepas sebanyak tujuh adegan dipotong. Menurut LPFM, tujuh adegan ini dipotong kerana ‘mempunyai unsur kurang sihat untuk tontonan kanak-kanak’.

Tujuh adegan yang dipotong itu mengandungi unsur-unsur berikut:

  • pelacuran
  • ciuman
  • lumba motosikal haram
  • rogol
  • suasana kelab malam
  • dialog lucah

United Movie berpendapat pemotongan tujuh adegan ini merencatkan kesinambungan jalan cerita Litar Kasih.

Jadi mereka kemudiannya membuat rayuan kepada LPFM supaya dapat meluluskan kembali sekurang-kurangnya empat daripada tujuh adegan yang dipotong.

Dalam laporan Utusan Malaysia pada 25 Januari 1996, Eddie Pak menjelaskan kenapa empat adegan tersebut tidak sepatutnya dipotong.

“Adegan cium yang digambarkan (antara Azhar Sulaiman dan Linda Rafar) adalah menerusi bayang-bayang bukannya adegan cium yang sebetulnya.”

Kiri: Adegan cium yang pada mulanya dipotong oleh LPFM
Kanan: Adegan aksi bermotosikal

“Adegan nenek (Mek Habsah) dirogol oleh seorang kolonial memaparkan situasi biasa bukannya bersifat perkauman.”

“Adegan Sally (lakonan Aishah Atan) melayan pelanggan juga terpaksa diwujudkan. Hanya melalui adegan itu sahaja menjadikan adik Sally iaitu Mira (Linda Rafar) tahu pekerjaan Sally yang menyara persekolahannya selama ini.”

Kiri: Aishah Atan sebagai Sally yang terlibat dalam kegiatan pelacuran
Kanan: Liza Abd. Latiff (bekas isteri Amy Search) sebagai Madam Ng (ibu ayam)

Dua minggu kemudian, LPFM menerima rayuan United Movie. Tetapi dengan syarat, Litar Kasih mestilah diklasifikasi sebagai 18SX untuk tontonan penonton berusia 18 tahun ke atas sahaja.

Semasa sistem klasifikasi filem diperkenalkan pada 1996, terdapat 4 kategori filem ’18 tahun ke atas’ iaitu 18SG, 18SX, 18PA & 18PL.

Litar Kasih termasuk dalam kategori 18SX, yang bermaksud ‘filem ini mengandungi unsur-unsur seks yang tidak keterlaluan’.

Adegan-adegan pembukaan Litar Kasih dimulai dengan maklumat klasifikasi filem

Menurut sumber, walaupun LPFM meluluskan empat adegan untuk tontonan di panggung wayang, Litar Kasih dalam versi VCD bagaimanapun tidak mengandungi adegan nenek dirogol.

Adegan-adegan pembukaan Litar Kasih dimulai dengan maklumat klasifikasi filem

“Ketiadaan adegan tersebut langsung tidak menjejaskan jalan cerita filem itu kerana ia sekadar adegan sampingan,” jelas sumber.

Insiden yang membuatkan LPFM mencipta klasifikasi filem

Sekitar setahun sebelum LPFM melaksanakan sistem klasifikasi filem, industri hiburan Malaysia dikejutkan dengan pengharaman filem Amok pada 1995.

Amok yang berlatarkan kisah kehidupan bebas di era 1970-an akhirnya diluluskan oleh LPFM untuk tayangan pada pertengahan 1995 setelah dipotong adegan-adegan yang provokatif.

Turut terlibat dengan isu penapisan pada 1995 ialah rancangan bual bicara, Teleskop, terbitan TV3.

Rancangan yang disiarkan secara langsung itu diharamkan oleh Kementerian Penerangan Malaysia setelah salah seorang jemputan dalam salah satu episod, iaitu pengarah filem, Nasir Jani, menyebut perkataan lucah (“four-letter word”, kata akhbar) semasa membicarakan tentang isu cetak rompak.

Pada 1995 juga, Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad, telah membangkitkan isu V.H.S (violence, horror & sex) yang dilihat semakin banyak disiarkan oleh stesen televisyen tempatan.

Terdapat pihak yang mencadangkan supaya rancangan atau filem berkaitan V.H.S – yang tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak – disiarkan pada waktu tertentu umpamanya pada lewat malam.

Rentetan daripada kes-kes inilah yang membuatkan kerajaan melalui LPFM melaksanakan sistem klasifikasi filem dan rancangan di media.

Selepas sistem klasifikasi filem wujud pada 1996, rancangan atau filem ’18 tahun ke atas’ hanya boleh disiarkan di televisyen selepas pukul 10 malam.

Anda boleh tonton filem Litar Kasih melalui video di bawah:

https://youtu.be/ZwBhqNaqDo8

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: