Seorang amil Pusat Zakat Selangor memberitahu sesiapa yang makan quinoa (sebutannya kinwaa) setiap hari sebagai ganti kepada beras biasa perlu membayar kadar zakat fitrah yang lebih mahal.
Faisal Rahim yang bertugas di Pusat Zakat Selangor memberitahu kadar zakat fitrah untuk mereka yang menjadikan quinoa sebagai makanan ruji dianggarkan lebih RM100 seorang.
“Sekarang dah ada trend orang kaya makan quinoa untuk menggantikan beras biasa. Ia lebih sihat sebab lebih tinggi [kandungan] fibernya, bebas gluten dan banyak lagi.
“Kalau kita ikuti [trend] kecergasan dan kesihatan, ramai juga makan quinoa untuk diet mereka. Malah ada ahli politik, selebriti dan sebagainya yang mengaku dah tukar 100% kepada Quinoa dalam makanan seharian mereka.
“Tapi harga 400 gram quinoa sama dengan [harga] beras 10kg biasa. Siapa [yang] makan Quinoa, kadar zakat fitrahnya berbeza iaitu lebih RM100 satu kepala.”
Faisal bagaimanapun menegaskan bayaran zakat fitrah ini tak tertakluk jika pembayar zakat makan quinoa sekali-sekala.
“Hanya yang makan quinoa sebagai ganti beras sebagai makanan ruji sahaja yang berbeza kadar zakat fitrahnya. Kalau cuma makan sesekali, tak dikira.
“Begitu juga kalau [kita] makan beras basmathi atau beras perang sesekali. Kadar zakat tetap sama iaitu RM7 seorang.”
Dalam Islam, kadar kiraan zakat fitrah seseorang dikira berdasarkan harga satu gantang Baghdad (2.6 kg) makanan ruji pembayar zakat.
Ini bermakna jika makanan ruji pembayar zakat itu adalah gandum (seperti di beberapa negara Arab), makan kadar zakat fitrah mereka bersamaan dengan harga 2.6kg gandum.
Jika makanan ruji kita di Malaysia adalah beras super spesial tempatan (5% hancur dan ke bawah), kadar zakat fitrah kita adalah RM7 seorang.
Jika makanan ruji kita adalah beras wangi Thailand, kadar zakat fitrah kita adalah RM14 seorang.
Bagaimanapun keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada 12 Disember 2017 menetapkan pembayar zakat fitrah di Selangor sebenarnya dibolehkan membayar kadar minima RM7 sekepala WALAUPUN berkemampuan untuk membayar lebih mengikut harga beras yang dimakan.
Hukum membayar kadar zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan adalah sunat berdasarkan hadis Sahih Bukhari dan Surah Al Baqarah ayat 184.
Anda boleh lihat anggaran kadar zakat fitrah yang perlu dibayar oleh pembayar zakat di Selangor berdasarkan jenis beras yang mereka biasa makan di pautan ini.
Apa itu quinoa?
Quinoa adalah sejenis bijiran yang bebas gluten yang kaya dengan protein daripada pokok Chenopodium quinoa. Secara teknikalnya, quinoa bukan sejenis bijiran seperti oat dan barli yang diekstrak dari daun. Ia diekstrak dari pokok.
Tetapi memandangkan quinoa dimakan seperti bijiran, ia dipanggil bijiran.
Berapa harga quinoa dan kadar zakat firah pemakan quinoa?
Hasil tinjauan kami di Shopee mendapati 400g quinoa berharga RM16.50.
Ini bermakna 1kg quinoa berharga RM41.25.
Kadar zakat fitrah pula ditentukan berdasarkan harga satu gantang Baghdad (2.6 kg) makanan ruji pembayar zakat.
Jika seseorang pembayar zakat menjadikan quinoa sebagai makanan rujinya, kadar zakat fitrah yang disunatkan kepada beliau untuk bayar adalah RM107.25 sekepala.