Pengganas bersenjata yang bertanggungjawab menyerang dua buah masjid di Christchurch, New Zealand setahun lepas mengaku bersalah terhadap 51 pertuduhan membunuh.

Brenton Tarrant yang baru berusia 29 tahun juga mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba membunuh 40 orang dan satu pertuduhan jenayah keganasan, lapor BBC.

Sebelum ini Tarrant mengaku tidak bersalah dan diminta untuk dibicarakan. Perbicaraan tersebut dijadualkan berlangsung pada Jun 2020 nanti.

Serangan bersenjata di dua buah masjid di New Zealand itu menggemparkan dunia dan memaksa New Zealand untuk mengetatkan lagi undang-undang senjata mereka yang sudah ketat.

Di bawah undang-undang baru tersebut, senjata separa-automatik gaya militari diharamkan serta-merta. Barang tukar ganti yang boleh digunakan untuk membina senjata tersebut turut diharamkan.

Pengakuan bersalah itu dibuat di Mahkamah Tinggi Christchurch hari ini ketika seluruh New Zealand berada di bawah perintah berkurung susulan penularan wabak COVID-19.

Tiada orang awam yang dibenarkan hadir dalam pendengaran kes tersebut. Tarrant yang berasal dari New South Wales, Australia menghadiri pendengaran kes tersebut dengan peguamnya menerusi pautan video.

Seorang wakil dari setiap masjid yang terlibat telah dibenarkan untuk datang ke pendengaran kes tersebut sebagai wakil mangsa dan keluarga mereka.

Hakim Cameron Mander berkata agak malang apabila perintah berkurung COVID-19 menghalang mangsa dan keluarga mereka untuk berada di bilik mahkamah ketika defendan mengaku bersalah.

Beliau turut memberitahu penjatuhan hukuman akan dibuat pada satu tarikh yang akan diberitahu kelak. Sementara itu, Tarrant akan kekal berada dalam penjara.

“Kami di Mahkamah Tinggi tiada niat untuk menjatuhkan hukuman kepada defendan sebelum bersidang seperti biasa. Ini adalah supaya mangsa dan keluarga mangsa boleh menghadiri mahkamah sendiri.”

Bercakap kepada TVNZ, Farid Ahmed yang kehilangan isterinya semasa Tarrant menyerang Masjid An-Nur di Christchurch memberitahu:

“Saya rasa ramai akan rasa lega mereka tak perlu datang ke mahkamah untuk melalui proses perbicaraan. Memori tersebut terlalu sedih untuk dikenang semula. Tapi ada juga yang mahu datang dengar perbicaraan.”

“Saya harap dengan pengakuan bersalah ini, [Tarrant] telah bertaubat. Saya telah berdoa agar beliau kembali ke jalan benar. Bila dia mengaku bersalah, ia permulaan yang bagus.”

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut melahirkan rasa lega dengan pengakuan bersalah tersebut.

Bagaimana serangan masjid Christchurch berlaku?

Serangan bersenjata yang berlaku pada 15 Mac 2019 itu bermula apabila Brenton Tarrant memandu ke Masjid An-Nur di Christchurch, masuk dan mula menembak ke arah jemaah secara rambang.

Kurang 30 saat kemudian, beliau kembali ke keretanya, mengutip senjata lain, masuk semula ke masjid sama dan mula menembak sekali lagi.

Rakaman dari kamera yang dipakai di kepala Tarrant menunjukkan beliau masuk dari sat bilik ke bilik lain sambil membunuh. Pembunuhan tersebut disiarkan secara langsung di akaun Facebook miliknya.

Kemudian Tarrant memandu ke Masjid Linwood di mana beliau menembak dua orang di perkarangan masjid sebelum menembak ke arah tingkap masjid secara rambang.

Seorang lelaki dari dalam masjid kemudiannya keluar, mengutip sebuah lagi senjata Tarrant di keretanya dan menghalau pengganas tersebut keluar.

Dua pegawai polis mengejar Tarrant dan berjaya memberkasnya.

Baca juga artikel kami yang lain yang mungkin menarik perhatian anda: