Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29 merupakan pasangan pertama di Malaysia yang diijabkabulkan melalui pernikahan online, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang wabak COVID-19.

AlHijrah melaporkan majlis tersebut diselia sendiri oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Turut menyaksikan pernikahan bersejarah tersebut di rumah pengantin perempuan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dalam majlis pernikahan tersebut, Muhammad Don Haadi Don Putra sah memperisterikan Nahdatul Aishah Mohd Sharif dengan hanya sekali lafaz.

Majlis diadakan di rumah kedua-dua pengantin iaitu di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak (pihak perempuan) dan di Setiawangsa (pihak lelaki) pada jam 10.10 pagi hari ini.

Bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis menjadi wali pernikahan dengan kehadiran saksi.

Majlis bersejarah tersebut turut disiarkan menerusi Facebook Live Berita AlHijrah.

Pernikahan online itu selaras dengan ketetapan terbaru JAWI pada 17 April lalu yang memberi kelonggaran kepada pasangan untuk melaksanakan majlis akad nikah secara sidang video (video conference).

Majlis bagaimanapun perlulah berdasarkan garis panduan dan borang permohonan ditetapkan. Pengantin pula perlu memperolehi Kebenaran Berkahwin daripada JAWI

Antara negara lain yang melaksanakan pernikahan online ekoran penularan wabak COVID-19 adalah Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Indonesia juga baru-baru ini telah membenarkan pendaftaran penikahan online ekoran penularan wabak penyakit itu yang tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Sebelum ini isu pernikahan atas talian (online) merupakan antara isu utama yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 14 April lepas.

Baca juga artikel kami lain yang menarik perhatian anda: