Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu ada enam syarat yang kita mesti patuh sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh ditamatkan secara rasminya.

Mengikut pelan asal kerajaan, PKP yang kini sudah memasuki fasa ketiga akan berakhir pada 28 April ini.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Hisham memberitahu keputusan sama ada PKP akan dilanjutkan ke fasa keempat atau tidak akan bergantung sama ada kita boleh mematuhi enam syarat berikut atau tidak:

1. Memastikan penyaringan terus berjalan di sempadan negara

Dr Hisham berkata adalah penting untuk kerajaan terus menyaring semua orang yang masuk ke dalam negara. Manakala rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara perlu diletakkan di bawah kuarantin selama 14 hari.

2. Patuh PKP

“Jika kita duduk di rumah, peluang untuk dijangkiti akan rendah,” kata Dr Hisham dalam sidang media semalam.

3. Naik taraf sistem kesihatan negara

Dr Hisham turut memberitahu taraf sistem kesihatan negara kita perlu dinaikkan. “Kita perlu mengurangkan masa yang diperlukan dalam proses penyaringan polymerase chain reaction (PCR),” jelasnya.

4. Kuatkuasakan undang-undang

Dr Hisham memberitahu golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti seperti golongan orang kelainan upaya (OKU), pesakit kemoterapi dan yang menghidap penyakit serius perlu diberikan perlindungan. “Jadi kita kena kuatkuasakan undang-undang untuk melindungi mereka,” katanya.

5. Terima hakikat normal yang baru

Mulai sekarang, kita perlu menerima hakikat kehidupan normal yang kita lalui sebelum PKP pada 18 Mac lepas tidak lagi boleh dinikmati selepas ini – sehinggalah vaksin COVID-19 berjaya ditemui.

Ini bermakna walaupun selepas PKP habis, kita masih perlu mengamalkan penjarakan sosial, membasuh tangan dan mengelak perhimpunan.

6. KKM perlu bekerjasama dengan komuniti

Dr Hisham turut menekankan kepentingan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menguatkuasakan langkah-langkah pencegahan terhadap komuniti yang terkesan.

Tak boleh balik kampung

Dr Hisham turut menyuarakan pendapatnya bahawa kerajaan sepatutnya tidak membenarkan kesesakan balik kampung daripada berlaku apabila pelajar universiti telah diberikan lampu hijau untuk pulang.

“Kita kena ada jadual yang teliti sebelum kita melepaskan lebih 100,000 pelajar universiti balik dari kampus mereka.

“Kita tak mahu ulangi kesilapan lepas di mana orang ramai bersesak-sesak untuk balik kampung. Pihak kementerian dan Majlis Keselamatan Negara sedang merancang strategi berhubung isu ini.”

Beliau turut memberitahu orang awam tidak perlu risau kerana tiada kluster COVID-19 baru dikesan di mana-mana universiti di seluruh negara.

“Kebanyakan pelajar berkampung di kampus mereka sejak empat minggu lepas. Tiada kluster baru dikesan dalam kalangan pelajar setakat ini. Kita akan saring mereka sebelum mereka dibenarkan pulang ke kampung.”

Baca juga artikel kami yang lain mengenai PKP: