Sejak bermula PKP pada 18 Mac lalu, hanya kedai-kedai yang tersenarai sebagai ‘essential services‘ sahaja dibenarkan beroperasi mengikut ketetapan yang dibuat pihak berkuasa.

Dalam perkembangan yang terbaru, terdapat beberapa jenis premis perniagaan telah mendapat kebenaran untuk beroperasi seperti kedai menjual baja, kedai perkakasan, dan kedai alat pertukangan.

Premis perniagaan yang tersenarai boleh dibuka dua hari dalam seminggu dan diharapkan dapat membantu masyarakat memanfaatkan aktiviti produktif bersama keluarga masing-masing di rumah.

Bagi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Mohamad Zain A Hamid, kebenaran sedemikian akan menggalakkan orang awam di daerah itu mematuhi arahan dengan berada di rumah sambil melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga.

Dibenarkan Operasi 2 Kali Seminggu

“Selaras dengan arahan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN), beberapa perkhidmatan dan perniagaan dibenarkan beroperasi dua kali seminggu sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ini adalah kelonggaran bagi orang awam mendapatkan apa juga keperluan di kedai berkenaan supaya dapat menjalankan aktiviti di rumah.

“Perkhidmatan atau perniagaan yang dibenarkan ialah Kedai Baja / Racun, Kedai Perkakasan (hardware), Kedai Menjual Makanan Haiwan dan Kedai Menjual Alat Ganti Kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamad Zain A Hamid berkata, semua perkhidmatan dan perniagaan yang dibenarkan beroperasi itu akan bermula esok iaitu 6 April 2020.

Waktu Operasi 8 Pagi Hingga 4 Petang

“Hari yang dibenarkan operasi ialah pada hari Isnin dan Khamis iaitu 8.00 pagi hingga 4.00 petang.

“Orang awam diingatkan supaya sentiasa mematuhi arahan semasa dan mengambil langkah-langkah keselamatan dan kesihatan semasa pengoperasian seperti memakai penutup mulut dan hidung, menyediakan pencuci tangan dan langkah penjarakan sosial,” katanya.

Baca juga artikel lain yang berkaitan dengan COVID-19