Seorang gadis Pulau Pinang bertindak membunuh diri akibat mengalami kemurungan selepas kena fitnah oleh pemilik akaun Facebook palsu bernama ‘Jocker Oruvan’.

Difahamkan ‘Jocker Oruvan’ menfitnah dan membuli mangsa yang dikenali sebagai Thivyaanayagi di Facebook. Video Tik Tok mangsa bersama dengan rakan sekerjanya dari Nepal menjadi bahan troll Jocker Oruvan sehingga membuatkan mangsa menjadi murung.

Meskipun ahli keluarga mangsa telah memohon kepada Jocker Oruvan untuk memadam hantaran berbau fitnah tersebut, ia tidak diendahkan oleh pemilik akaun tersebut.

Barangkali tidak tahan dengan hinaan yang diterimanya di Facebook, mangsa yang berusia 20 tahun bertindak membunuh diri di bilik rumahnya pada 19 Mei 2020 lepas.

Dia turut meninggalkan nota terakhirnya yang berbunyi:

“Hai keluarga dan kawan-kawan yang tersayang,

“Sejujurnya saya minta maaf kerana saya tak ada pilihan lain. Kerana saya, anda semua malu. Saya tahu anda semua sentiasa bersama dengan saya dalam apa jua situasi supaya saya sentiasa tabah. Video itu memalukan saya dan merosakkan nama baik keluarga kita.

“Terima kasih kepada Akka dan Kong atas segalanya. Anda berdua sentiasa pilih jalan betul. Tapi saya tak. Saya rasa Karti bersama dengan saya dalam situasi ini tapi awak tak berbuat begitu kepada Mr dan itu melukakan hati saya. Saya percayakan awak. Maaf kerana ini salah saya.

“Terima kasih Boon, Yogi, Syaiful, Tina dan semua kerana sentiasa bersama dengan saya dalam masalah ini. Saya sayang dan rindu anda semua. Terima kasih atas segala-galanya.

“Punca saya buat keputusan ini adalah kerana JOCKER ORUVAN letakkan video saya di Facebook dan merosakkan nama saya dan nama keluarga saya.

“Kepada abang-abangku semua, terima kasih kerana memahami. Maaf, semua. Sila maklumkan kepada semua kawan-kawan. Terima kasih.

“Salam sayang,
Thivyaa.

NGO dan keluarga mangsa buat laporan

Dalam pada itu, sebuah NGO hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap akaun Facebook ‘Jocker Oruvan’ yang didakwa menfitnah mangsa.

Presiden Malaysian Tamilar Kural, David Marshel berkata, akaun Facebook tersebut ‘Jocker Oruvan’ kini telah dinyahaktif selepas kematian wanita itu menjadi tular di media sosial.

“Mangsanya seorang rakyat Malaysia berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Dia membuat video ‘Tik-Tok’ bersama rakan kerjanya yang merupakan seorang warga asing.

“Namun, video tersebut dikongsi oleh laman Facebook ‘Jocker Oruvan’ yang mendakwa bahawa mangsa mempunyai hubungan dengan warga asing itu.

“Difahami, mangsa meninggal dunia akibat rasa malu selepas menerima komen-komen cemuhan dari warga maya,” kata David ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurutnya, beliau membuat laporan kepada SKMM bagi pihak keluarga wanita itu, manakala abang mangsa turut membuat satu laporan polis berhubung kejadian tersebut.

“Kami harap pihak SKMM mengambil tindakan tegas terhadap akaun Facebook ini, yang membuat fitnah terhadap orang yang tidak dikenali sehingga mangsa meninggal dunia.

“Lebih menyedihkan lagi, admin akaun Facebook itu juga tidak layan penjelasan ahli keluarga dan permintaan untuk mengalihkan video tersebut.

“Kami harap SKMM akan melihat kes ini sebagai satu contoh tindakan tegas terhadap semua akaun Facebook yang membuat fitnah semata-mata terhadap orang lain,” katanya lagi.

Sumber: