Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebenarnya bukan hanya dilaksanakan oleh negara kita sahaja, malah boleh dikatakan ketika ini hampir kesemua negara yang terjejas dengan wabak COVID-19 mengambil tindakan sama.

Semalam kami kongsikan berita penduduk Itali sudah mula merusuh kerana kehabisan wang dan makanan, hari ini kami ingin ceritakan mengenai seorang lelaki yang ditahan pihak polis kerana menyembunyikan isterinya dalam bonet kereta.

Di United Kingdom (UK), seorang pemandu lelaki ditahan setelah melanggar arahan sekatan perjalanan dengan alasan mengambil barang pembelian berupa tingkap berharga £15 (kira-kira RM80) secara dalam talian.

Namun apa yang memeranjatkan anggota polis apabila mendapati isteri pemandu itu berada di dalam but kereta.

Menurut makluman polis North West Motorway, lelaki itu dipercayai memandu lebih 2 jam sejauh 200 kilometer dari Coventry ke Salford untuk mengambil tingkap yang dibelinya secara dalam talian.

“Isterinya tidak muat duduk di dalam kereta. Jadi dia baring di dalam but sepanjang perjalanan pulang sebelum mereka ditahan,” kata kenyataan itu.

Lelaki itu dilapor disaman kerana melanggar arahan kerajaan dengan melakukan perjalanan tidak penting (non-essential travel).

United Kingdom melaksanakan perintah kawalan pergerakan mulai malam Isnin (waktu tempatan) susulan peningkatan penularan jangkitan COVID-19 di negara itu.

Perdana Menteri, Boris Johnson berkata rakyat negara itu hanya dibenarkan keluar untuk membeli makanan, ubat-ubatan, atau tugasan kritikal sahaja.

Baca juga artikel menarik yang lain: