Platform penstriman kandungan video kelahiran Malaysia, iflix dilaporkan telah dijual kepada syarikat konglomerat China, Tencent Holdings.

Menurut laporan Lowyat,net, nama pemilik iflix di Play Store dan App Store ketika ini sudah dikemaskini kepada Ren Feng Media Tech Inc – sebuah anak syarikat Tencent Holdings yang banyak menghasilkan aplikasi telefon pintar.

Tangkap layar dari Apple App Store
Tangkap layar dari Google Play Store

Berita ini tidak mengejutkan memandangkan iflix sebelum ini dilaporkan telah mengalami kerugian RM675 juta pada tahun 2018. Pada tahun 2019, syarikat media itu terpaksa mencari pelabur baru untuk menanggung kos operasi tahunannya yang mencecah RM331 juta.

Pada 31 September 2019, iflix dilaporkan hanya mempunyai RM54.34 juta dalam kantung syarikat mereka.

Petanda terbesar iflix menghadapi masalah adalah apabila syarikat itu dilaporkan terpaksa memberhentikan 50 hingga 65 staf pada April lepas.

Dua pengasas iflix, Patrick Grove dan Luke Elliott juga meletakkan jawatan ahli lembaga pengarah syarikat mereka pada April lepas.

Ketika syarikat penstriman video seperti Netflix mencatatkan peningkatan jumlah pengguna ketika wabak COVID-19, iflix pula terpaksa mengecilkan saiz operasinya dalam langkah yang dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mark Bennett sebagai, “langkah yang perlu dilakukan untuk membolehkan syarikat bertahan dalam waktu sukar dan tak menentu.”

Bennet berkata pengecilan saiz operasi tersebut diharapkan mampu membuatkan iflix sekurang-kurangnya berhenti mencatat kerugian menjelang 2021.

Selain itu, iflix juga dilaporkan berbuat demikian sebagai langkah persediaan menjelang penyenaraian saham terbitan awam mereka di Bursa Saham Australia.

Tidak dapat dipastikan sama ada rancangan iflix untuk disenaraikan dalam Bursa Saham Australia itu masih berjalan atau tidak selepas mereka dijual kepada Tencent Holdings.

Tetapi apa yang pasti, penjualan iflix kepada syarikat China ini berkemungkinan besar bermakna iflix akan menjadi pengedar utama kandungan drama dan filem China di Asia Tenggara.

Pengguna iflix sebelum ini banyak meluahkan rungutan mereka mengenai kekurangan kandungan drama dan filem antarabangsa berbanding Netflix. Sama ada kebanjiran kandungan China akan menyelesaikan rungutan ini atau tidak, hanya masa yang boleh menentukannya.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Sumber: