Usahawan fesyen, Vivy Yusof kembali berada di bawah mikroskop netizen selepas konsep produk terbaru jenama dUCk beliau, THE ARTSY dUCk dikecam meniru daripada sebuah lagi jenama kecil butik fesyen bernama Soonaru.

THE ARTSY dUCk yang baru dilancarkan pada 10 malam, 28 April 2020 merupakan koleksi tudung yang diperbuat dari fabrik matte satin. Terdapat lapan jenis tudung dijual dalam koleksi tersebut.

Menurut dUCk, sebahagian hasil jualan produk terbaru mereka ini turut akan didermakan kepada Pusat Jagaan Amal Asyura.

‘Bukan nak claim tapi…’

Isu timbul apabila seorang model, Nia Atasha mendedahkan di akaun Twitter dan Instagram, persamaan konsep tudung rekaan beliau dengan butik Soonaru dengan tudung dUCk. Difahamkan Soonaru terlebih dahulu melancarkan produk mereka pada Disember 2018.

Menurut Nia di Instagram, inspirasi beliau dalam produk tersebut terhasil daripada minta beliau terhadap seni.

“Saya bekerja keras dengan Soonaru selama enam bulan untuk memastikan kerjasama ini berjalan lancar dan saya gembira dengan hasil akhir dan sambutan jualan produk ini.

Nia turut memberitahu, ketika baru dilancarkan produk beliau ini turut dipasarkan di Zalora dan Fashon Valet (milik Vivy Yusof). Malah sehingga kini, ia masih lagi berada dalam katalog Fashion Valet.

“Dua tahun kemudian, saya dapati dUCk mengeluarkan produk yang nampak seperti sama. Saya faham tak ada benda yang ‘original’ dan semua orang ada ambil inspirasi dari tempat lain dan saya tak nak main tuduh-tuduh atau ‘claim’.

“Tapi ada benda yang tak kena di sini. Konsep penggambaran produk ini – semuanya. Saya tak tahu nak cakap apa.”

‘Letih dituduh’

Selepas kenyataan Nia Atasha menjadi tular di media sosial sehingga nama Vivy kembali menjadi topik popular di Twitter, Vivy Yusof tampil mempertahankan produk jenamanya.

“dUCk dituduh mencuri rekaan jenama lain sekali lagi. Saya dah terima hakikat orang masih akan tuduh kami curi rekaan orang jika mereka nampak apa-apa persamaan. Selama ini saya kunci mulut sebab letih sebenarnya nak beritahu mereka yang kami tak pernah merujuk rekaan orang lain.

“Kebanyakan mereka adalah jenama tempatan yang saya promosikan sendiri dengan harapan mereka boleh berkembang lebih besar. Jadi bayangkanlah betapa sedihnya saya dimalukan oleh mereka.

Menurut Vivy lagi, pasukan pereka beliau telah berbincang tentang pembikinan THE ARTSY dUCk sejak Jun 2018 lagi, iaitu kira-kira enam bulan sebelum koleksi Nia dan Soonaru dilancarkan.

Berharap penjelasan tersebut akan meredakan keadaan, sebaliknya pula yang berlaku. Nia kemudiannya membalas:

“Koleksi saya mungkin mula dijual pada Disember 2018. Tetapi saya telah bekerjasama dengan Soonaru sejak Mei 2018.”

‘Vivy kena pecat pereka dUCk’

Menurut Nia, beliau berpendapat Vivy perlu memecat pasukan perekanya di dUCk kerana ‘sesiapa yang anda ada sekarang selalu buat anda malu.’

“Saya tak kata rekaan produknya memang betul-betul serupa. Saya cuma kata semua rekaan, termasuk gambar kempen produk, nampak ada persamaan.

“Bila anda kena tuduh [meniru] berkali-kali, anda tak letihkah? Bukankah itu tandanya pereka anda ada masalah? Takkan mereka langsung tak buat kajian?

“Dah banyak kes anda yang dikatakan mengambil inspirasi daripada jenama lain. Bukannya jenama lain yang mengambil inspirasi daripada jenama awak.

“Saya tak mahu orang boikot THE ARTSY dUCk kerana ia menyumbang kepada dana kebajikan. Sila sokong, derma dan beli produk mereka. Saya cuma nak cakap ini bukan benda kali pertama berlaku.

“Anda dan pasukan pereka anda sedih? Bayangkan pula saya! Sebab kami tahu kami takkan menang lawan anda. Sebab kami kecil. Sebab anda boleh buat duit berjuta-juta dan gunakannya untuk memenangi hati orang dengan buat sumbangan.

“Tapi kami yang kecil ini akan kena serang dengan penyokong jenama anda yang besar dan ramai. Kami akan dicop sebagai jenama yang acah-acah nak tuduh awak. Awak rasa dunia ni tak adil…cubalah hidup macam kami.”

Baca juga artikel kami lain yang berkaitan: