Kerajaan Singapura dilaporkan akan mula menambak tanah di sekitar pulau Batu Puteh atau Pedra Branca bagi menambah baik kemudahan di pulau berkenaan. Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Negara (MND), ia juga bagi membolehkan kapal berlabuh selain menyediakan kemudahan logistik, sokongan pentadbiran dan komunikasi tambahan. Kerja-kerja penambakan itu akan dilakukan oleh Housing and Development Board (HDB), sebuah agensi di bawah MND.

Laporan akhbar Straits Times juga menambah, langkah berkenaan sekali gus akan meningkatkan keselamatan maritim serta keupayaan mencari dan menyelamat di kawasan tersebut. Menurut MND, kerja-kerja menambah baik kemudahan di pulau tersebut yang sudah dirancang namun terpaksa ditangguhkan ekoran pertikaian sebelum ini dengan kerajaan Malaysia mengenai kedaulatan pulau itu.

Kerja-kerja penambakan tersebut dijangka akan menjadikan saiz pulau tersebut enam kali ganda lebih besar berbanding saiz asalnya iatu dari 9,000 meter persegi kepada 70,000 meter persegi.

Sejarah pertikaian Pulau Batu Puteh

Kredit gambar: https://defencesecurityasia.com/singapura-akan-lakukan-penambakan-terhadap-pulau-batu-puteh-tambah-keluasannya/

Pulau Batu Puteh ialah pulau yang menjadi rebutan dan dituntut oleh dua negara sebelum ini. Pulau ini hanya terletak sejauh 7.7 batu nautika (nm) dari tanah besar Malaysia tetapi 25.5 batu nautika (nm) dari dari Singapura. Ini menunjukkan jarak Pulau Batu Puteh adalah lebih jauh dari titik terdekat Singapura iaitu Changi sejauh 46 km (25 batu nautika) berbanding hanya 14.3 km (7.7 batu nautika) dari Johor iaitu di Tanjung Penyusop, Mukim Pengerang.

Masalah pemilikan Pulau Batu Puteh mula berbangkit selepas Malaysia mengeluarkan peta baru yang menunjukkan wilayah perairan dan sempadan pentas dunia pada 21 Disember 1979 yang menyatakan bahawa Pulau Batu Puteh itu berada di dalam sempadan kawasan kelautan Malaysia. Perkara ini telah menyebabkan Singapura membangkitkan isu pemilikan Pulau Batu Puteh pada 14 Februari 1980.

Keputusan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)

Kredit gambar: https://defencesecurityasia.com/singapura-akan-lakukan-penambakan-terhadap-pulau-batu-puteh-tambah-keluasannya/

Proses perbicaraan ini telah bermula hujah Malaysia telah diterima dan pemilikan dari segi sejarah sebagai sebahagian dari Johor disahkan, tetapi keputusan mahkamah tersebut dengan seramai 16 orang hakim, dengan majoriti 12-4 kebanyakannya berdasarkan aktiviti Singapura selama 100 tahun terakhir di pulau tersebut. Selain itu keputusan ICJ turut mengambil kira dakwaan Singapura mengenai surat oleh wakil setiausaha Johor pada tahun 1953 kepada kerajaan Singapura mengenai tiada tuntutan oleh kerajaan Johor berhubung dengan pemilikan Pedra Branca.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pejabat Peguam Negara menyatakan ICJ dalam penghakimannya pada 2008 telah memutuskan bahawa kedaulatan batuan itu sebagai elevasi air surut (low tide elevation) dimiliki oleh negara yang dalam laut wilayahnya terletak. Selaras dengan keputusan tersebut, Malaysia dan Singapura akan menubuhkan satu Jawatankuasa Teknikal Bersama yang ditugaskan untuk melaksanakan penghakiman berkenaan.

Keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan tiada mekanisme rayuan bagi keputusan ICJ yang merupakan badan perundangan tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).